15 motosikal disita ubah suai ekzos - Utusan Malaysia

15 motosikal disita ubah suai ekzos

SEBAHAGIAN daripada motosikal yang disita dalam Operasi Khas Kesalahan Bunyi Bising (Ekzos) bermula 1 Mac lalu di sekitar daerah Jempol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sebanyak 15 buah motosikal disita Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol atas kesalahan mengubah suai ekzos sepanjang Operasi Khas Kesalahan Bunyi Bising (Ekzos) bermula 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kesemua kenderaan tersebut kini berada di IPD Jempol untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kebanyakan individu yang dikesan melakukan kesalahan tersebut berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun.

“Op khas berkenaan diadakan di tiga lokasi sekatan jalan raya (SJR) di kawasan pekan Bahau selain lorong-lorong jalan ditutup serta pasukan trafik bergerak bagi mengesan kesalahan ekzos bising.

“Kesemua pemilik motosikal yang disita perlu datang semula ke IPD dan menukar ekzos asal sebelum motosikal berkenaan diserahkan semula kepada pemiliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, operasi khas berkenaan akan diteruskan di lokasi yang telah dikenal pasti di seluruh kawasan Jempol dan lokasi operasi ini juga akan berubah-ubah mengikut kesesuaian penugasan serta akan dilaksanakan sehingga 14 Mac depan.

Menurutnya lagi,  Jumaat lalu, pihaknya telah mengadakan operasi khas berkenaan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada pukul 5 petang hingga 8 malam di Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Rompin dekat sini.

“Hasil daripada operasi khas tersebut sebanyak 177 kenderaan dan 192 individu telah diperiksa di mana 47 saman polis telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Daripada jumlah berkenaan lima motosikal telah disita kerana didapati mengubah suai ekzos motosikal sehingga mengeluarkan bunyi bising melebihi kadar yang ditetapkan. Bagi pihak JPJ pula sebanyak 110 notis telah dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas,” katanya.

Menurutnya, walaupun kesalahan ekzos bising diberi keutamaan, kesalahan-kesalahan lalu lintas yang lain juga diambil tindakan demi mendidik masyarakat agar mematuhi udang-undang jalanraya.

“Kehadiran pihak polis di jalan awam juga sebagai salah satu bentuk pencegahan jenayah yang boleh mengurangkan peluang pelakuan jenayah di lokasi berdekatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya