PETALING JAYA: Tindakan pihak yang ingin menjatuhkan Presiden UMNO menerusi buku 30 Dalil Me ngapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden UMNO tidak akan menjejaskan parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli UMNO keseluruhannya tidak pedulikan taktik kotor tersebut malah tiada siapa yang mempeduli tentang perkara itu.
Katanya, ia bukan perkara baharu kerana taktik kotor tersebut sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
“Dulu benda ni pun dah viral dalam bentuk PDF, cuma sekarang dia buat dalam bentuk buku. Tetapi ahli-ahli UMNO tak peduli pun apa yang mereka lakukan.
“Itu memang permainan politik yang kotor, kalau itu cara untuk memuaskan hati mereka, silakan,” katanya.
Ketika ditanya adakah Presiden UMNO itu tahu siapa dalang yang menyebarkan buku tersebut, katanya, beliau tidak perlu tahu dan tidak mahu ambil peduli dengan individu yang ingin menjatuhkannya.
“Saya tak perlu tahu sebab dia sengaja buat kerja kotor, buat apa kita nak peduli dengan mereka? Ia pun tidak menjejaskan parti sekalipun,” jelasnya.
Beliau yang kini sedang dikuarantin turut berkata, pihak kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap perkara itu kerana tidak memberi sebarang kepentingan mahupun keuntungan kepada parti.
Sebelum ini, kandungan tersebut disiarkan dalam bentuk PDF dengan tajuk 30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden UMNO.
Namun selepas itu, kandungan tersebut difahamkan telah di cetak dalam bentuk buku dan dihantar kepada rumah ahli-ahli UMNO di peringkat bahagian dan cawangan seluruh negara.
Dilaporkan, buku bercetak itu dihantar dengan menggunakan khidmat pos dan kurier terus ke rumah pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi.
Sebelum ini buku itu dibuat dengan PDF sahaja namun ia tidak menarik minat untuk dibaca dan tidak sampai ke akar umbi UMNO.










