Tidak akan buat total lockdown - PM - Utusan Malaysia

Tidak akan buat total lockdown – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya atau total lockdown kerana akan memberikan kesan amat negatif terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat walaupun ia merupakan kaedah paling berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika berbuat demikian, banyak kilang terpaksa ditutup, perniagaan gulung tikar, perusahaan lumpuh dan rakyat akan hilang pekerjaan serta mata pencarian sekali gus menjejaskan teruk kehidupan rakyat.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya pergerakan rakyat tidak dikawal, kita tidak akan dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dan kes-kes akan terus meningkat, hospital-hospital di negara ini tidak dapat menampung kes-kes baharu yang semakin bertambah mendadak, sistem kesihatan awam akan lumpuh dan nyawa rakyat akan terancam.

“Jadi, dalam situasi pandemik pada masa ini, kerajaan perlu mencari satu keadah yang berimbang, iaitu memastikan kehidupan ekonomi rakyat terus terjamin dan nyawa rakyat terus dilindungi.

“Kaedah yang terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi perlu untuk terus beroperasi dan pada masa sama melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan yang sudah pun berada di tempat kerja, kawasan kediaman dan di dalam komuniti kita,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Kata Perdana Menteri, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP kali ini, kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri dan daerah kecuali untuk tujuan bekerja, rawatan perubatan serta pergerakan barangan dan perkhidmatan bagi sektor-sektor ekonomi perlu.

Jelasnya, SOP lebih ketat dikuatkuasakan termasuk melarang makan di restoran, menghalang hampir semua aktiviti sukan dan sosial serta menutup operasi perniagaan tertentu.

justeru, beliau berkata, pelaksanaan PKP itu telah menghasilkan kesan positif di beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang mula menunjukkan trend jumlah kes harian baharu semakin melandai.

Namun begitu, katanya, peningkatan kes masih berlaku terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor yang merupakan negeri berkepadatan tinggi di samping mempunyai kegiatan ekonomi dan industri yang rancak.

“Saya tahu bahawa ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Bagaimana kita hendak memastikan saudara dan saudari yang keluar bekerja atau keluar untuk membeli barangan keperluan harian tidak terkena jangkitan Covid-19.

“Pastinya ini memerlukan kerjasama semua pihak. Majikan misalnya, telah ada arahan supaya hanya 30 peratus pekerja dalam kategori pengurusan yang boleh hadir ke pejabat atau premis perniagaan, manakala yang lainnya mesti bekerja dari rumah.

“Apabila arahan ini dipatuhi, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pekerja dalam kategori ini tidak berada di pejabat atau di premis-premis perniagaan. Mereka dikehendaki stay at home,” katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun kerajaan tidak melaksanakan lock down, pergerakan orang ramai dalam pengangkutan awam, di jalan raya dan di premis-premis pejabat dan perniagaan dapat dikurangkan dan pada masa sama ekonomi dan industri dapat terus beroperasi.

Begitu juga katanya, jika ada dalam kalangan pekerja yang didapati positif Covid-19, mereka ini mesti segera diasingkan dan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapat rawatan atau menjalani kuarantin di tempat tinggal.

Kata beliau, pengesanan kontak rapat dalam kalangan pekerja juga mesti dilakukan segera dan mereka ini perlu menjalani ujian saringan dan dikuarantin di rumah atau di tempat penginapan pekerja.

“Majikan jangan paksa pekerja yang sedang menjalani kuarantin untuk datang bekerja kerana ini akan membahayakan semua orang.

“Jangkitan kepada orang lain boleh berlaku sekiranya mereka juga didapati positif Covid-19. Pokoknya, kita mesti jaga kita. Apabila kita jaga sesama kita, kita jaga semua orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penekanan kepada aspek pematuhan SOP di kilang-kilang, tapak-tapak pembinaan, tempat penginapan pekerja dan di tempat kerja perlu dilakukan kerana jangkitan dalam gelombang ketiga ini banyak berlaku di tempat-tempat tersebut.

Menurut beliau, data terkini menunjukkan 59 peratus jangkitan berlaku di tempat kerja, 19 peratus di pusat tahanan, 14 peratus di kediaman, lima peratus di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masing-masing dua peratus kes import dan kumpulan berisiko.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuat kuasa.

“Satu Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan PKP yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan Kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP bagi pemantauan di premis-premis kilang dan bukan kilang di negara ini,” katanya.

Sehingga semalam, katanya, Pasukan Petugas Khas dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah membuat lawatan tinjauan di 2,276 premis di seluruh negara.

Daripada jumlah ini, kata beliau, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pihak PDRM juga telah mengenakan kompaun ke atas 82,141 individu dan membuat 31,740 tangkapan atas pelbagai kesalahan. Saya menyeru pihak industri dan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya