PETALING JAYA: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memakai seragam sekolah ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk menuju ke pusat-pusat peperiksaan diberi kelonggaran daripada diperiksa ketat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kebenaran itu hanya tertakluk dalam tempoh peperiksaan SPM mulai Isnin ini hingga 25 Februari ini.
Justeru, kata beliau, ibu bapa dan calon SPM dinasihatkan untuk membuat perancangan awal agar mereka tidak terganggu semasa dalam perjalanan ke pusat-pusat pemeriksaan.
“Bagi calon SPM atau ibu bapa yang membawa anak berpakaian seragam sekolah pada 22 Februari hingga Rabu depan mereka akan diberi pelepasan cepat ketika melalui SJR.
“Kelonggaran juga akan diberikan pada tarikh-tarikh tertentu bagi calon yang menduduki peperiksaan subjek tambahan.
“Kita mahu memastikan semua laluan di SJR berjalan lancar untuk semua kes kecemasan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, kata Acryl Sani, petugas SJR boleh menggunakan budi bicara membabitkan calon SPM yang benar-benar mengalami kecemasan sehingga mengganggu perjalanan mereka menduduki peperiksaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang peperiksaan berlangsung, Acryl Sani memberitahu, PDRM akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan bagi memastikan perjalanan calon-calon yang menduduki peperiksaan berjalan lancar.
“Bagi SOP peperiksaan, maklumat lanjut boleh diperoleh daripada Kementerian Pendidikan, PDRM sedia membantu,” jelasnya.
Pada 23 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan semua peperiksaan awam bagi tahun 2020 yang bakal diduduki lebih 500,000 pelajar termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 22 Februari ini, tidak akan ditangguhkan.
Bagi pelajar terlibat yang positif Covid-19 atau dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit, mereka boleh menduduki peperiksaan itu selepas disahkan pulih sepenuhnya.
Lapor Utusan Malaysia, Kementerian Pendidikan telah mengatur SOP dan garis panduan bagi menentukan kategori pelajar yang akan menduduki peperiksaan sama ada dalam keadaan sihat, bergejala positif atau dikuarantin.
Malah pihak kementerian juga tidak akan membuat perubahan terhadap peperiksaan tersebut walaupun mengambil kira situasi pengajaran dan pembelajaran ketika ini kerana peperiksaan SPM contohnya diiktiraf oleh Cambridge yang setara dengan O Level.
Justeru itu, jika sebarang perubahan dibuat maka akan hilang pengiktiran tersebut dan pihaknya tidak mahu calon peperiksaan tahun 2020 tidak akan memperoleh pengiktirafan sijil mereka sekali gus menjejaskan peluang untuk meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi atau memasuki bidang kerjaya. – UTUSAN










