Perhilitan buru harimau di Kampung Lubuk Periuk - Utusan Malaysia

Perhilitan buru harimau di Kampung Lubuk Periuk

PENTERNAK Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu menemukan bangkai lembu yang dipercayai dibaham harimau belang pada Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akan memasang perangkap di lokasi strategik bagi menangkap harimau belang dewasa yang didakwa mengancam ternakan penduduk di Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu.

Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, buat masa ini beberapa anggota telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan tinjauan dan mengatur tindakan susulan.

“Kita tidak menerima sebarang aduan tentang ancaman harimau yang mengorbankan dua lembu ternakan penduduk dan siasatan masih lagi dibuat dengan bantuan mereka yang terlibat.

“Kita tidak menolak kemungkinan harimau yang disyaki masih berada di dalam kawasan kebun kelapa sawit berkenaan berasal dari Hutan Simpan Dungun yang terletak berhampiran memandangkan kawasan itu sememangnya habitat asal haiwan liar tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ancaman harimau belang di Kampung Lubuk Periuk di sini sejak 10 tahun lalu terus berleluasa apabila dua lagi lembu penduduk dibaham haiwan liar itu pada Khamis dan Sabtu lalu hingga menyebabkan kerugian lebih RM3,500 kepada seorang penternak.

Sementara itu, seorang penternak lembu terlibat, Sumani Mohamad, 59, berkata, dia dan rakan-rakannya menemukan kesan tapak kaki baharu harimau tersebut berdekatan kandang lembunya kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

“Tapak kaki harimau masih basah dan sebelum itu baharu sahaja keluar dari kawasan kebun kelapa sawit, mujurlah tidak terserempak dengan pak belang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN