KUALA PILAH: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkunjung ke kawasan taman rekreasi air terutama ketika musim hujan susulan pengesanan wabak disyaki leptospirosis di Taman Eko Rimba Ulu Bendul di sini, kelmarin.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah telah melaporkan empat kes disyaki leptospirosis membabitkan individu yang mempunyai sejarah menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan.
Menurutnya, kesemua pesakit mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan sakit otot.
“Daripada jumlah tersebut, seorang pesakit dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut manakala tiga lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Sampel klinikal daripada kes-kes tersebut telah diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penilaian risiko di kawasan taman rekreasi berkenaan mendapati terdapat persekitaran yang kondusif bagi penularan penyakit itu.
“Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan rekreasi tersebut telah ditutup oleh agensi berkaitan bermula 10 Mei hingga 17 Mei ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan,” katanya.
Jelasnya, leptospirosis merupakan penyakit zoonosis yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia disebabkan bakteria Leptospira.
Katanya, manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada air, tanah atau makanan tercemar.
“Pelbagai haiwan liar dan domestik boleh menjadi perumah kepada bakteria Leptospira antaranya tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab dan kuda.
“Leptospirosis adalah penyakit endemik di negara beriklim tropika termasuk Malaysia dengan tempoh pengeraman antara dua hingga 30 hari,” katanya.
Tambahnya, gejala jangkitan termasuk demam, menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tanpa kahak, loya, muntah dan cirit-birit.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, mengelakkan minum air sungai atau air tidak dimasak serta tidak bermain air sekiranya mempunyai luka terbuka.
“Orang ramai juga digalakkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala selepas mengunjungi kawasan rekreasi,” katanya. – UTUSAN










