Dzowahir sudah kemuka rayuan kepada Bersatu

Dzowahir sudah kemuka rayuan kepada Bersatu

DZOWAHIR AB. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani menyerahkan kepada Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menimbang permohonannya kekal sebagai ahli.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah turut berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengekalkan jawatan disandangnya.

“Saya rasa itu kebijaksanaan yang dikemukakan pucuk pimpinan kerajaan negeri dan saya berterima-kasih kepada Menteri Besar kerana masih beri kepercayaan dan mengambil satu keputusan yang penuh hikmah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengumumkan dua ADUN yang dipecat Bersatu akan kekal memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Exco kerajaan negeri sehingga proses rayuan selesai.

Beliau berkata, kedua-dua mereka iaitu Dzowahir dan ADUN Sungai Tiang, Abd. Razak Khamis berhak untuk merayu keputusan dibuat parti terhadap mereka.

Sementara itu, Dzowahir berkata, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai Exco seperti biasa demi kebajikan masyarakat negeri itu dan kawasan DUN diwakilinya.

“Kita kena fikirkan masalah rakyat, jangan ada banyak sangat politik ini kerana kita dilantik dan dipilih oleh mereka maka kita jalankanlah amanah demi kesejahteraan rakyat.

“Dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan, saya akan teruskan berkhidmat kepada rakyat dan juga menjaga portfolio yang telah saya diamanahkan selama ini,” katanya.

Berhubung rayuan dibuatnya, Dzowahir berharap keputusan sewajarnya dibuat oleh pucuk pimpinan parti yang setakat ini tidak pasti bila jawatankuasa itu akan bersidang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN