Pengecualian beku pengambilan pekerja asing ambil kira situasi Covid-19 - Utusan Malaysia

Pengecualian beku pengambilan pekerja asing ambil kira situasi Covid-19

MOHD. Khairuddin Aman Razali (kiri) melihat pokok lada hitam sempena lawatan kerja ke Ladang Lada di Felda Inas Utara, Kulai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Pengecualian terhadap pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan dan komoditi hanya akan dibuat setelah mengambil kira kejayaan kawalan semasa pandemik Covid-19 di sektor berkenaan membabitkan tenaga kerja sedia ada.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, antara faktor yang diambil kira termasuk kemampuan pengusaha menyediakan penginapan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, dasar kerajaan ketika ini adalah untuk membekukan pengambilan pekerja asing kerana mengutamakan kesejahteraan rakyat tempatan terlebih dahulu.

“Kita sedang menggerakkan kempen agar sektor perladangan seperti sawit, getah dan perkayuan melaksanakan SOP yang ketat bagi memastikan tiada penularan berlaku dalam sektor terbabit.

“Kalau itu berjaya dilaksanakan, mungkin kerajaan boleh pertimbang untuk laksanakan pengecualian. Tetapi itu bergantung kepada kejayaan kita mengawal tenaga kerja sedia ada dalam sektor berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Lada di Felda Inas Utara yang diusahakan 23 peserta terdiri daripada penduduk tempatan di sini hari ini.

Sebelum ini, kementerian menerima permohonan pemain industri dalam sektor terbabit untuk dikecualikan daripada dasar pembekuan pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan kerajaan.

Ini berikutan berlaku kekurangan tenaga kerja yang dihadapi pengusaha kerana pekerjaan sedemikian kurang mendapat sambutan daripada warga tempatan.

Tambah Mohd. Khairuddin, ketika ini kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan sektor berkenaan.

“Sebagai contoh, kerajaan telah menyediakan dana berjumlah RM36 juta untuk diberi kepada syarikat yang berjaya menggantikan tenaga kerja asing dengan warga tempatan. Menerusi inisiatif ini, kerajaan memperuntukkan RM600 sebulan bagi seorang pekerja selama tempoh enam bulan.

“Selain itu, program rekalibrasi yang bertujuan mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengisi kekosongan yang diperlukan dalam sektor tertentu sedang dalam peringkat rundingan dan bergantung kepada keupayaan pengusaha menyediakan persekitaran kerja yang mematuhi SOP ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN