fbpx

Pekebun nanas Moris lega

DR. Yaakob Sapari (kiri) dan Pengerusi Ladang Kelompok Tanaman Nanas Moris Ayer Baloi, Ariffin Ali (kanan) bersama-sama buah nanas Moris yang akan dihantar ke Negeri Sembilan di Kampung Parit Baru. -UTUSAN/ MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Peserta tanaman berkelompok nanas Moris kini mampu menarik nafas lega setelah isu lambakan buah varieti itu yang kurang mendapat permintaan di pasaran sebelum ini kembali terjual melalui usaha-usaha dilakukan pelbagai pihak.

Pengerusi Ladang Kelompok Tanaman Nanas Moris Ayer Baloi, Ariffin Ali berkata, penanam amat menghargai langkah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang membeli buah-buah itu.

Katanya, seramai lapan orang pekebun menyertai program tanaman berkelompok di situ yang melibatkan tanah berkeluasan kira-kira 10 ekar dengan pengeluaran sebanyak 120,000 biji pada Februari hingga Jun ini.

“FAMA telah membeli sebanyak 8,000 biji buah nanas Moris pada minggu lalu, diikuti 5,000 biji lagi bagi membantu pekebun yang terjejas di sini. Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang membantu pekebun kecil bagi membolehkan buah ini dijual melalui pelbagai kaedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, FAMA Negeri Johor membeli 200 metrik tan buah nanas daripada 30 pekebun kecil bagi mengatasi masalah lambakan buah tersebut.

Nanas varieti itu akan dijual di outlet-outlet peruncitan FAMA selain menghantar ke kilang untuk tujuan pemprosesan.

Ini susulan sekumpulan pekebun kecil yang menanam buah nanas di tanah berkeluasan 300 ekar di Kampung Parit Betak, Benut di sini runsing apabila tanaman mereka yang sudah boleh dituai berdepan lambakan ekoran aktiviti pembelian yang perlahan.

Rata-rata mereka yang menanam kira-kira 15,000 pokok bagi setiap ekar terpaksa menjual buah bervarieti Moris itu pada harga RM1 sebiji bagi mengelak buah rosak disebabkan peraih tidak mengambil tanaman itu dipercayai kerana kekurangan permintaan.

Sementara itu Ariffin mengakui, kegagalan pihaknya melaporkan isu lambakan buah nanas kepada pihak berkenaan termasuk FAMA pada tuaian Januari lalu menyebabkan peserta kerugian kira-kira RM80,000.

Tambahnya, memandangkan kesediaan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mereka, harga jualan bagi sebiji buah nanas Moris itu kini purata RM1.

“Sebelum ini kami jual mengikut gred dengan gred A mampu mendapat harga RM1.45 sen sebiji tetapi disebabkan keadaan semasa ketika ini kami sedia turunkan kerana yang penting nanas dapat dijual dan petani tidak terus menanggung kerugian besar,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Negara, Dr. Yaakob Sapari turut membeli 10,000 biji buah nanas keluaran ladang berkelompok itu setelah dimaklumkan mengenai lambakan buah tersebut di akhbar dan media sosial.

Beliau yang juga berasal dari Kampung Parit Baru berkata, sebanyak 6,000 biji buah nanas dibeli oleh Exco Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malik untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Ampangan.

Selain itu kata Yaakob, turut membantu adalah Pasaraya Malakat Mall serta Ahli Majlis Perbandaran Ampangan Jaya yang akan mengagihkan kepada masyarakat di kawasan tersebut.

“Kami membeli sebanyak 10,000 biji nanas Moris yang akan diagihkan secara percuma di kawasan berkenaan dan bersedia untuk membelinya lagi selepas ini,” katanya.

caption:
YAAKOB Sapari (dua dari kiri) dan Ariffin Ali (tiga dari kiri) bersama-sama buah nanas Moris yang akan dihantar ke Negeri Sembilan di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

YAAKOB Sapari (kiri) dan Ariffin Ali (kanan) bersama-sama buah nanas Moris yang akan dihantar ke Negeri Sembilan di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

POPULAR

KOSMO! TERKINI