PETALING JAYA: Tiada lagi budi bicara! Individu yang melanggar larangan merentas negeri akan diarah berpatah balik dan tetap didenda RM1,000.
Itu penegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperketat bagi mengekang penularan Covid-19 terutama dalam tempoh sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), M.V. Srikumar Nair berkata, PDRM tidak akan sesekali berkompromi terhadap mereka yang merentas negeri tanpa alasan kukuh dan kebenaran polis dalam tempoh berkenaan.
Ini kerana, SOP ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman masing-masing dan masih terpakai dalam musim perayaan itu.
Kata beliau lagi, sebanyak 466 sekatan jalan raya (SJR) telah diadakan di seluruh negara melibatkan kawasan lebuh raya, sempadan negeri dan daerah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 106 SJR didirikan di lebuh raya seluruh negara diikuti sempadan negeri (96) dan sempadan daerah (264),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, MV.Sri Kumar berkata, kira-kira 24,500 anggota penguat kuasa melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi berkaitan akan ditugaskan sepanjang operasi pematuhan dan SJR itu.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 13,000 pegawai dan anggota pelbagai agensi akan melakukan tugasan pematuhan manakala 11,500 lagi akan terlibat dalam SJR.
“Jumlah penugasan ini berkemungkinan akan ditambah mengikut keperluan. Malah, pemeriksaan secara rawak juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan perumahan namun bergantung kepada Ketua Polis Daerah terlibat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan kenderaan di SJR masih dijalankan walaupun pelbagai sektor ekonomi dibenarkan kembali beroperasi.
Kata beliau, aliran lalu lintas masih terkawal kerana pemandu kenderaan perlu mematuhi SOP PKP yang melarang pergerakan rentas daerah serta negeri tanpa alasan kukuh.
“Aliran trafik dijangka dapat dikawal kerana pemandu kenderaan masih terikat SOP PKP yang tidak membenarkan rentas daerah serta negeri,” katanya.
Tambah Azisman, selain SJR, pasukan JSPT akan membuat rondaan dan pemeriksaan di jalan raya.
Kelmarin, kerajaan mengeluarkan arahan beberapa sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuk kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.
Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu. – UTUSAN










