Jamu, santuni asnaf setiap Jumaat - Utusan Malaysia

Jamu, santuni asnaf setiap Jumaat

PETUGAS membungkus makanan untuk diagihkan dalam program Dapur Asnaf.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jumaat menjadi hari ditunggu-tunggu golongan asnaf di sekitar daerah ini kerana berpeluang menjamu selera secara percuma di sebuah rumah seorang jurutera di Tanjung Mas, di sini sejak 2015.

Dinamakan sebagai Dapur Asnaf, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti mingguan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) yang diasaskan oleh jurutera terbabit, Ir. Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni.

Dia yang juga Pengerusi KKAK berkata, kebiasaannya jamuan bermula selepas umat Islam selesai solat Jumaat dan dikendalikan sendiri oleh sekumpulan asnaf yang memasak juadah secara bergotong-royong pada sebelah pagi.

“Kami memasak dengan bantuan lima asnaf yang diberi elaun RM40 seorang dan selepas solat Jumaat para asnaf bersama anak-anak mereka ke rumah saya untuk makan tengah hari.

“Namun disebabkan penularan pandemik Covid-19 ketika ini, mereka tidak lagi menjamu selera di sini sebaliknya diminta membawa pulang makanan untuk dinikmati bersama keluarga masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Sebelum musim pandemik, Dapur Asnaf pernah menarik kehadiran hampir 500 asnaf namun larangan rentas daerah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan jumlahnya berkurangan kepada kira-kira 100 orang.

“Biarpun bilangan penerima bantuan makanan percuma itu berkurangan, KKAK tetap istiqamah meneruskan Dapur Asnaf pada setiap Jumaat selagi dizinkan Allah SWT.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini aktiviti kami masih berjalan dengan dana yang dibiayai hasil sumbangan orang ramai. Malah golongan asnaf yang datang meminta bantuan lain seperti barangan keperluan harian tetap dibantu,” katanya.

Meor Shamshir memanfaatkan media sosial seperti Facebook sebagai platform untuk menguar-uarkan aktiviti KKAK seperti Dapur Asnaf selain berkongsi kisah hidup golongan itu bagi mengumpul dana daripada orang ramai.

Pendekatan itu bagaimanapun tidak dapat lari daripada stigma negatif warganet seperti mencemuh dan menuduh mereka sengaja mahu menunjuk-nunjuk selain dikatakan ingin meraih publisiti kerana ada agenda peribadi.

“Saya tidak putus asa, sebaliknya bertekad mahu meneruskan kerja-kerja kebajikan dan berharap kedua-dua arwah ibu dan bapa mendapat manfaat daripada perkara itu.

“Saya juga berasa puas dapat menatap raut wajah para asnaf yang dibantu terutama warga emas kerana mengingatkan saya kepada ibu, Latifah Bee Hussain yang meninggal dunia pada 2004 dan bapa, Meor Zulkefli Auni Meor Abdullah yang meninggal dunia pada 1998,” katanya.

Selain jamuan makan dan agihan bantuan barangan keperluan, KKAK membantu asnaf menyelesaikan pelbagai permasalahan hidup lain di samping menganjurkan program mengaji al-Quran empat kali seminggu dan perkhidmatan sesi kaunseling keluarga.

Pengurusan KKAK dan segala aktiviti kelab itu turut dibantu dua isterinya iaitu Rozila Mohd. Roslan, 43, serta Zurawati Zulkefli, 43. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.