Jabatan Perhilitan pasang perangkap tangkap beruk - Utusan Malaysia

Jabatan Perhilitan pasang perangkap tangkap beruk

Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan memasang perangkap bagi menangkap beruk dan kera liar di sekitar Kampung Chuai Hlir, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah memasang perangkap bagi menangkap beruk dan kera liar di sekitar Kampung Chuai Hlir, di sini, hari ini.

Ia selepas seorang warga emas cedera di kedua-dua belah tangan dan kaki selepas diserang seekor beruk dalam kejadian di sebuah kebun di kampung berkenaan, semalam.

Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya sudah memasang perangkap yang bersesuaian iaitu bersaiz lebih besar 8x8x9 bagi menangkap beruk yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

“Umpan buah-buahan seperti pisang dan jambu diletakkan bagi menarik minat beruk atau kera masuk ke dalam perangkap berkenaan.

“Kami yakin, terdapat kera dan beruk sudah masuk ke dalam perangkap berkenaan berdasarkan pengalaman kami meletakkan perangkap binatang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam Utusan Online melaporkan, akibat serangan beruk tersebut, mangsa, Zaiton Md Jidin, 65, dikejarkan ke Hospital Rembau bagi mendapatkan rawatan awal dan dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut.

Wan Mat berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca serangan beruk ke atas mangsa dalam kes yang pertama kali berlaku berkenaan.

Menurutnya, tinjauan pihaknya ke lokasi serangan juga telah membawa penemuan bangkai seekor beruk berhampiran kawasan serangan berkenaan.

“Kami tidak dapat nak pastikan sama ada ini adalah beruk yang sama menyerang mangsa. Bagaimanapun, berdasarkan keterangan dari ahli keluarga, ini bukanlah beruk yang sama kerana saiz yang berbeza.

“Berdasarkan tinjauan, terdapat kesan pergelutan antara beruk berkenaan dan juga binatang dipercayai babi hutan yang menjadikan beruk sebagai makanannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya