Hasrat beli kereta untuk bapa tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hasrat beli kereta untuk bapa tidak kesampaian

KEJADIAN kemalangan membabitkan kereta yang dipandu Hafidzan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hasrat dua beradik untuk memberikan sebuah kereta yang baru dibeli kepada bapa mereka, tidak kesampaian apabila masing-masing terlibat kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, mangsa, Hafidzan Zainal, 44, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan manakala adiknya, Mohd. Fauzi Zainal, 39, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari lokasi kejadian ke HTAN bagi rawatan lanjut akibat diserang sawan. 

JAMILAH Bohari dan Muhammad Aiman menunjukkan gambar Hafidzan Zainal yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol, kelmarin ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Kobena, Senawang, hari ini.

Salah seorang adik beradik mangsa, Shah Rizal Zainal, 41, berkata, ketika kejadian, abang dan adiknya itu dalam perjalanan pulang membawa sebuah kereta terpakai untuk dihadiahkan kepada bapa mereka, Zainal Sulong, 63.

“Mereka ke Felda Pasoh, Jelebu untuk ambil kereta yang dibeli untuk ayah. Mereka pergi dengan sebuah kereta dan kemudian, ketika pulang, Hafidzan membawa pulang kereta yang dibeli itu manakala Mohd. Fauzi mengekori di belakang.

“Saya dimaklumkan, ketika kejadian, Mohd. Fauzi agak jauh di belakang, memang tidak boleh nak kata apa-apa, hasrat untuk berikan ayah kereta tidak tercapai dan kami kehilangan dua orang ahli keluarga sekali,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Taman Kobena, Senawang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berdasarkan siasatan awal, Mohd. Fauzi telah melihat abangnya terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 4.30 petang dan kemudian pengsan dan mulutnya berbuih.

“Mangsa terus dikejarkan ke HTAN, namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Pemeriksaan dibuat terhadap tubuh mangsa dan didapati tiada kecederaan atau luka luaran yang disyaki ada unsur jenayah. 

“Semakan rekod perubatan dibuat dan mangsa didapati mempunyai sejarah sakit sawan. Bedah siasat ke atas mangsa (Mohd. Fauzi) dijalankan pukul 10 pagi tadi bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hock berkata, Hafidzan pula dipercayai terbabit dalam kemalangan selepas hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan yang berada di kiri bahu jalan.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Simpang Pertang menghala ke Kuala Pilah.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia selepas lebih tiga jam terbabit dalam kemalangan. Proses bedah siasat di jalankan ke atas mangsa pada pukul 9 pagi dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Hafidzan, Jamilah Bohari, 44, memberitahu, tidak mengetahui perancangan suami dan adik iparnya ke Jelebu untuk membelikan sebuah kereta kepada bapa mentuanya.

“Saya hanya mengetahui kemalangan membabitkan suami selepas dimaklumkan oleh anak, Muhammad Aiman Ariff, 14. Dia tunjukkan gambar kejadian dan saya lihat suami seperti tidak mengalami kecederaan yang banyak cuma kereta itu sangat remuk.

“Saya pun tidak tahu perancangan mereka berdua mengenai kereta tersebut dan hanya mengetahuinya selepas kejadian berlaku apabila dimaklumkan ahli keluarga lain. Suami dalam kebelakangan ini tidak menunjukkan sikap berbeza cuma dia kelihatan lebih ceria dan selalu ketawa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.