Hampir 1.2 juta rakyat sudah daftar untuk divaksin - Utusan Malaysia

Hampir 1.2 juta rakyat sudah daftar untuk divaksin

Vaksin telah diuji keberkesanan sebelum diluluskan oleh penilaian badan saintifik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jumlah rakyat negara ini yang sudah pun mendaftarkan diri untuk terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin menghampiri angka 1.2 juta orang.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga merangkap Menteri Penyelaras PICK setelah inisiatif itu dibuka pada Rabu lalu.

“Setakat pukul 7 pagi tadi, seramai 1,183,779 telah membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19 pada fasa kedua dan ketiga nanti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar bersama-sama Duta China, Ouyang Yujing selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin keluaran Sinovac di sini hari ini.

Ia antara sebahagian daripada PICK dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut menjadi individu pertama yang disuntik di Putrajaya pada 24 Februari lalu.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan sehingga 5 petang semalam, sejumlah lebih 3,500 individu sudah pun menerima vaksin berkenaan dalam fasa pertama di seluruh negara.

Jumlah pendaftaran penerima vaksin katanya, dijangka bertambah lebih tinggi apabila proses permohonan secara atas talian menerusi laman sesawang dibuka mulai 5 Mac depan.

Menyentuh kenapa vaksin Sinovac masih belum lagi menerima kelulusan Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), Khairy berkata, ia perlu melalui pemeriksaan di kilang.

“Kita bukan terima siap dalam bentuk bebuli tetapi 200 liter secara pukal terus dari Beijing, China untuk diisi semula lebih 300,000 dos di kilang Pharmaniaga di Puchong, Selangor.

“Justeru, NPRA perlu menilai proses pembotolan itu secara ketat langsung di fasiliti syarikat ini sebelum diberi kelulusan rasmi dan ini bukan sesuatu yang agak pelik pun,” jelasnya lagi.

Khairy turut memberi contoh banyak negara lain di dunia pun berbuat demikian termasuk Singapura sendiri kerana bekalan amat terhad dan kos pemprosesan semula lebih rendah.

Bahkan beliau memberi jaminan bahawa kualiti vaksin Sinovac tetap sama seperti asal dan menjangkakan, kilang Pharmaniaga itu juga mampu mengeluarkan dua juta doa setiap bulan.

“Bilakah akan diluluskan oleh NPRA, saya sendiri tidak tahu tetapi ia sebuah badan bebas dan kerajaan tidak mahu beri tekanan untuk kelulusan segera hingga abai aspek kualiti,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau yakin proses itu tidak mengambil masa terlalu lama kerana fasiliti itu memang sudah sedia lengkap menerima bahan mentah untuk diproses sebelum diagihkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya