Hak PN untuk terima mana-mana parti - Ahmad Maslan

Hak PN untuk terima mana-mana parti – Ahmad Maslan

AHMAD Maslan (kiri) bertanya khabar secara panggilan video kepada ahli keluarga Lua Chua Huat (tengah) yang tidak dapat pulang sempena Tahun Baharu Cina ketika berkunjung ke Taman Muhibbah, Benut di Pontian, Johor hari ini. - FOTO/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menghalang mana-mana parti politik untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana perkara itu merupakan hak mereka, selain UMNO juga bukan menjadi parti komponen kepada PN.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terserah kepada PN untuk menerima sesiapa sahaja untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka seperti dilakukan oleh BN sendiri.

Malah, tegas beliau, PN bukanlah sebuah parti untuk menyatukan parti-parti Melayu kerana gabungan itu turut dianggotai oleh Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidiriti Tanah Airku atau STAR Sabah.

Ahmad berkata, beliau juga tidak mendapat sebarang maklumat mengenai penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke dalam PN baru-baru ini kerana UMNO tidak berada dalam mesyuarat Majlis Presiden PN seperti mana Pas.

“UMNO menyifatkan kemasukan Gerakan ke dalam PN merupakan hak mereka walaupun sebelum ini parti tersebut menjadi sebahagian komponen BN tetapi keluar apabila kita kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita pun tidak menghalang mana-mana parti untuk keluar daripada BN kerana ia merupakan hak mereka untuk membuat keputusan walaupun kesetiaan kepada parti seharusnya menjadi keutamaan walaupun BN telah tewas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Sambutan Tahun Baharu Cina ke atas Naib Pengerusi MCA Bahagian Pontian, Lua Chua Huat di Taman Muhibbah, Benut, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, UMNO dan BN juga tidak boleh menghalang PN untuk menerima permohonan daripada mana-mana parti termasuk Gerakan untuk menyertai mereka. 

“BN menghargai parti-parti yang setia kepada gabungan ini walaupun mengalami kekalahan pada PRU-14 lalu tetapi mereka ‘tidak lari’ daripada asas perjuangan yang telah dikongsi sejak sekian lama,” ujarnya.

Mengenai isu i-Sinar, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, BN dan UMNO merupakan pihak yang terawal menyuarakan masalah tersebut supaya dipermudahkan melalui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, perkara itu seterusnya disokong oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat sebelum Majlis Tertinggi (MT) mengambil keputusan sama menyokong perkara itu.

“Parti-parti pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun tidak menyuarakan isu tersebut sebagaimana kelantangan suara daripada UMNO dan BN di Dewan  Rakyat,” jelasnya.

Kata Ahmad, dalam usaha memansuhkan syarat-syarat ketat pengeluaran i- Sinar, beliau bersama Tan Sri Noh Omar; Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah tiga kali mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya