8,000 tukang gunting bercerai sejak PKP - Utusan Malaysia

8,000 tukang gunting bercerai sejak PKP

Tukang gunting rambut antara yang terjejas apabila PKP dilaksanakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Hidup kami seperti jatuh ditimpa tangga. Selepas satu dugaan, datang lagi satu dugaan.”

Demikian keluhan kira-kira 8,000 orang dalam industri perkhidmatan pengguntingan rambut apabila bukan sahaja diduga hilang sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lepas tetapi turut berdepan pergolakan rumah tangga termasuk perceraian.

Mereka sebahagian 80,000 pekerja dalam perkhidmatan gunting rambut dan salun di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat jika sektor tersebut masih tidak dibenarkan beroperasi selepas 4 Februari ini.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), T.N Winda Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan masalah rumah tangga berpunca kekangan kewangan ekoran terputus punca rezeki apabila sektor tersebut tidak dibenarkan beroperasi sejak penularan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, tekanan daripada pasangan masing-masing disebabkan sumber kewangan tidak mencukupi bagi membeli barangan keperluan berikutan pendapatan merosot 50 peratus menjadi punca utama kes perceraian melibatkan golongan tersebut.

“Saya tidak henti-henti menerima panggilan telefon, WhatsApp, mesej langsung (DM) daripada rakan-rakan dalam industri bertanyakan jangkaan kebenaran untuk beroperasi semula.

“Saya sendiri tiada jawapan, sebaliknya perlu menunggu pengumuman kerajaan.

“Sedih mendengar mereka mengadu masalah rumah tangga yang berantakan sehingga ada yang mahu bercerai-berai,” katanya.

Menurut T.N Winda, masalah tersebut bermula apabila hampir 40 peratus pengusaha kedai gunting yang mempunyai pekerja antara 15,000 hingga 16,000 orang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menampung sewa premis, gaji dan komitmen lain setelah tidak dibenarkan beroperasi pada PKP pertama.

“Kami sekali lagi diuji apabila diarahkan menutup semula perniagaan pada 13 Januari lalu menyebabkan sektor ini mengalami kerugian sebanyak RM500 juta untuk tempoh setiap dua minggu sepanjang pelaksanaan PKP 2.0.

“Jumlah itu dijangka terus meningkat sekiranya tempoh penutupan operasi perniagaan dilanjutkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN