Sesi persekolahan di negeri PKP ditangguh - Utusan Malaysia

Sesi persekolahan di negeri PKP ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sesi persekolahan 2021 yang sepatutnya bermula 20 Januari ini ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula Rabu ini di enam buah negeri. 

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.  

Menurutnya, kumpulan pelajar itu di negeri PKP akan mengikuti  pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah  (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini termasuk  murid Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2  DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional. 

Menurutnya, sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia  (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama  Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan  2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara. 

“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan  tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari.

“Surat  kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan  murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama,” katanya di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari bagi tujuan pengoperasian sekolah. 

Jelasnya, guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020  dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan  pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka. 

Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas  negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah, katanya.

Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, katanya, calon  berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran ini akan mengikuti  pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari ini. 

“Sementara itu, bagi  kemasukan ke Tingkatan 4 pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15  hingga 25 Februari dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh kementerian bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat  pentaksiran yang ditetapkan. 

“Pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu  kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara  hibrid,” katanya.   

Dalam pada itu, Kementerian berkenaan menambah, bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan  pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam  talian mulai 17 Januari ini. 

Di samping itu, katanya, semua tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian boleh terus  beroperasi secara bersemuka.  

“Kementerian menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang  tidak berdaftar dengan kementerian, termasuk sekolah dibawah Kerajaan Negeri. 

“Kementerian akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis  Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis  Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej  Matrikulasi dalam Norma Baharu serta Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara  (MKN),” katanya.  

Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara  berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga  institusi pendidikan sentiasa diutamakan, jelas kenyataan itu.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya