fbpx

Pendekkan waktu persekolahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memendekkan waktu sesi persekolahan tahun ini ekoran situasi pandemik Covid-19 yang tinggi ketika ini.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, langkah itu wajar dalam keadaan ibu bapa berasa bimbang dengan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka.

“Perkara ini dicadang berikutan peningkatan terkini kes Covid-19 yang pernah melepasi angka 4,000 kes, keadaan ini membimbangkan semua pihak khususnya ibu bapa.

“Cadangan ini juga bagi menjaga kebajikan semua pihak dan pada masa sama semua sekolah perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksana dengan ketat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sesi persekolahan 2021 yang bermula semalam melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam iaitu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Normala yang juga seorang guru berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan menangguhkan pembukaan sekolah untuk semua pelajar lain kerana statistik Covid-19 masih tinggi dan banjir baru melanda.

“Keadaan ini juga menjejaskan keadaan ekonomi keluarga yang terkesan.

“Mereka amat memerlukan keprihatinan kerajaan dalam menilai segala perkara secara holistik dan turut menyalurkan sumbangan bagi membantu rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut berharap Kementerian Pendidikan dan agensi terlibat melihat kebajikan warga pendidik di seluruh negara dalam mendepani cabaran pengajaran dan pembelajaran kebiasaan baharu.

“Guru dan pelajar memerlukan keprihatinan daripada aspek kemudahan akses internet dan kemudahan penggunaan telefon pintar bagi memudahkan proses pembelajaran secara dalam talian.

“Selain itu, Pendidik juga mengharapkan semua pihak terutama umat Islam dapat bersabar dengan ujian yang sedang dilalui di samping berusaha mencegah penularan pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE