NGO sedia tab, capaian internet untuk pelajar pinggir bandar 

NGO sedia tab, capaian internet untuk pelajar pinggir bandar 

PARA pelajar menggunakan kemudahan tab dan khidmat WiFi percuma yang disediakan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Masalah ketiadaan peranti dan capaian internet yang dihadapi pelajar di kawasan pinggir bandar daerah ini mendapat perhatian Pertubuhan Badan Pemikir Melayu (Pemikir) yang menyediakan tab dan khidmat wifi percuma. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Muhammad Farid Saad berkata, penyediaan kemudahan peranti dan internet di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Jalan Bharu di sini bertujuan membantu murid dan pelajar sekolah yang berdepan kekangan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian. 

Menurut beliau, ini berikutan terdapat banyak aduan dan rungutan daripada ibu bapa pelajar berhubung masalah peralatan komunikasi dan internet di lebih 10 lokasi di daerah ini sejak tahun lalu. 

“Melihat masalah yang dihadapi penduduk, kami mengambil inisiatif menyediakan sebanyak 25 tab yang boleh digunakan pelajar sepanjang sesi PdPR dengan capaian internet berkelajuan 300mbs. 

“Harap tiada lagi masalah melibatkan capaian internet dan peranti dalam kalangan murid-murid sekolah rendah dan pelajar menengah di kawasan pinggir bandar ini. 

“Usaha yang dilakukan ini adalah bagi membantu melancarkan proses PdPR sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, pihaknya juga mensasarkan sebanyak 50 buah tab disediakan di lokasi itu menjelang Februari ini. 

Selain itu, antara kemudahan lain yang disediakan adalah sebanyak 120 buah kerusi dan meja plastik bagi kegunaan pelajar sepanjang tempoh pembelajaran diadakan. 

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya meminta kerajaan memantau stok bekalan dan harga jualan peranti di pasaran ketika ini. 

“Ini kerana berlaku kenaikan harga pembelian secara mendadak kurang dari tempoh 48 jam termasuk kekurangan stok peralatan elektronik itu di pasaran,”ujarnya. 

Sementara itu, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tengku Nur Alia Tengku Anwar, 17, berkata, dia kini boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi berdepan masalah capaian internet perlahan di kawasan rumahnya di Jalan Bharu. 

“Saya tertekan setiap kali berdepan masalah internet dan terpaksa menangguhkan sesi PdPR dan proses menghantar tugasan atau kerja sekolah. 

“Dengan adanya kemudahan yang disediakan di sini, sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar terutama calon SPM untuk belajar secara dalam talian serta membuat ulang kaji mata pelajaran,” jelasnya anak bongsu daripada empat beradik itu. 

Seorang lagi penduduk, Rusli Hashim, 62, pula memberitahu, kemudahan yang disediakan itu sememangnya membantu meringankan beban tiga cucunya berusia 14, 15 dan 17 tahun yang terpaksa berkongsi satu peranti dan bergilir pada setiap hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya