fbpx

22 Oktober 2021, 12:09 pm

  TERKINI

Murid boleh berambut panjang masuk sekolah

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir lima juta murid sekolah di seluruh negara dibenarkan berambut panjang apabila memasuki semula ke institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.

Kelonggaran tersebut menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut dipersetujui oleh pihak kementerian tersebut hasil mesyuarat diadakan baru-baru ini.

“Walaupun ada murid yang berambut panjang, mereka dibolehkan masuk macam biasa tanpa dikenakan tindakan oleh guru disiplin,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya hari ini.

Langkah khas itu ujar beliau, susulan semua operasi kedai gunting rambut diarahkan ditutup ekoran pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula kelmarin.  

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa keputusan penutupan atau pembukaan semula premis itu akan ditetapkan Kementerian Kesihatan selepas penilaian tempoh dua minggu.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin melalui sidang akhbar pada 12 Januari lalu mengumumkan sesi bersemuka sekolah di negeri-negeri terlibat PKP bermula 8 Mac ini.

Sementara negeri yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dapat mula sesi itu pada 20 Januari ini kecuali murid di tingkatan 2 dan 3 masih secara atas talian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia pertimbang operasi kedai gunting rambut dan salun setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

“Begitu juga kedai cermin mata yang dibenarkan dibuka setelah Persatuan Optometri ada buat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Namun, operasi kedai itu tertakluk prosedur operasi standard (SOP) amat ketat dan jika gagal mematuhinya, pihak penguat kuasa kementerian tersebut boleh mengarahkan premis ditutup.

Menyentuh aduan ada institusi pengajian tinggi dan sekolah tertentu mengenakan syarat pelajar buat ujian swab dengan kos ditanggung sendiri, beliau berkata ia tidak boleh dibuat.

“Arahan sebelum masuk ke kampus atau asrama bagi duduki peperiksaan hanya untuk pelajar yang bergejala sahaja perlu ujian itu, bukannya semua kena wajib,” tegas Ismail Sabri.

Ditanya wartawan apakah sektor pengilangan automotif boleh ditarik balik daripada senarai perkhidmatan yang tidak boleh beroperasi, beliau berkata ia bukan ditentukan oleh MKN.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa perkara itu akan diumumkan sendiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tidak lama lagi.

Ia susulan tindakan secara mengejut oleh kementerian itu mengeluarkan sektor pengilangan automotif secara tiba-tiba pada 14 Januari selepas dua hari dibenarkan operasi semula. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI