'Mungkin saya terlalai, abaikan SOP tanpa sengaja' - Utusan Malaysia

‘Mungkin saya terlalai, abaikan SOP tanpa sengaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Terasing daripada dunia luar, termasuk keluarga sendiri benar-benar menginsafkan dan menjadi pengalaman tidak akan dilupakan sepanjang hidup Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang baru pulih daripada jangkitan Covid-19.

Ab. Aziz, 59, yang didapati positif Covid-19 bersama isteri, Roshana Hashim, 56, serta seorang anak mereka pada 10 Januari lalu dirawat di Hospital Kuala Krai selama lapan hari dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Taman Kesedar Jaya, di sini sejak kelmarin.

Menurut Ab. Aziz, sepanjang lapan hari berada di hospital, beliau cukup terkesan apabila terpaksa mengasingkan diri daripada orang ramai dan tidak dibenarkan menerima lawatan, termasuk oleh ahli keluarga sendiri.

“Saya juga masih tak dapat lupakan pengalaman menaiki ambulans dengan perasaan bercampur baur, antara takut, bimbang dan sedih dengan diri ketika itu dikelilingi petugas yang memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE).

“Tanpa ahli keluarga di sisi, ia menjadi satu tekanan, namun saya bersyukur apabila ditempatkan di wad bersama lebih 20 lagi pesakit yang saling memberi semangat satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mengimbas kembali tanda-tanda awal jangkitan virus Covid-19, Ab. Aziz berkata dirinya berasa begitu lemah dan mengalami demam.

Beliau juga masih tidak pasti bagaimana mendapat jangkitan pandemik itu kerana bertemu terlalu ramai orang di pelbagai lokasi termasuk di ibu negara sebelum disahkan positif.

“Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, mungkin saya terlalai lalu mengabaikan SOP (prosedur operasi standard) tanpa sengaja,” katanya yang mengakui masih trauma dan kini amat menitikberatkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan.

Tambah beliau, melihat perjuangan pesakit Covid-19 serta pengorbanan jururawat dan doktor yang berkorban masa dan keringat bagi merawat pesakit juga amat menyentuh hatinya.

“Saya harap orang ramai ambil iktibar atas kejadian menimpa saya dan sentiasa mematuhi SOP seperti elakkan berada di tempat sempit dan sesak, sentiasa jaga jarak, elak bersentuhan dengan individu lain serta menjaga kebersihan diri,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya