Mangsa banjir di PPS kena patuh SOP norma baharu - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di PPS kena patuh SOP norma baharu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua mangsa bencana alam termasuk banjir masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Hal ini ditegaskan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ekoran beberapa negeri terjejas teruk dan ramai mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“SOP ini meliputi pengurusan sebelum, semasa dan selepas operasi berakhir di PPS yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya menerusi kenyataan.

Antara SOP sebelum operasi bermula ujar beliau, ialah memastikan PPS yang dikenal pasti dan diwartakan itu ada segala fasiliti asas berfungsi dengan baik, kondusif dan bersedia rapi.

Ini ujarnya, termasuk ruang pesakit dalam pemantauan (PUS) dan setiap PPS ada dilengkapi kod QR MySejahtera dengan setiap petugas serta mangsa perlu menggunakan aplikasi itu.

Pada masa sama, NADMA akan memastikan kecukupan Personal Protective Equipment (PPE) dan peralatan yang bersesuaian bagi pengendalian operasi sebelum PPS itu mula dibuka.

“Semasa pelaksanaan operasi PPS pula, SOP hendaklah dibuka di kawasan Zon Covid-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sama dengan mangsa,” kata Ismail Sabri.

Jika tidak dapat dielak, ia boleh dibuka di zon berhampiran dan perlu disanitasi sebelum terima mangsa dengan proses pemindahan perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan PPS.

Ia juga mengikut nasihat Kementerian Kesihatan seperti jaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa serta setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring.

Mereka kata Ismail Sabri, kemudian ditempatkan dengan mematuhi aspek penjarakkan fizikal dengan akan dibekalkan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada sepanjang masa.

“Jawatankuasa PPS boleh menempatkan ahli keluarga dalam kubikel yang sama dan bagi yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan kemudian diasingkan,” katanya.

Penyediaan makanan dan minuman adalah secara berbungkus tanpa ada sebarang aktiviti memasak di PPS sepanjang operasi selain aktiviti berkumpulan yang jejas penjarakkan.

Ini termasuk ziarah antara mangsa dan semua kawasan tertutup di PPS dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara cukup untuk mengeluarkan partikel yang tercemar.

Menyentuh SOP selepas pelaksanaan operasi beliau berkata, bagi memastikan langkah wajar diambil ketika proses menghantar pulang mangsa, mereka dibekalkan dengan pelitup muka.

“Mangsa dikehendaki memakainya pada setiap masa selain memastikan penjarakkan ketika dalam kenderaan manakala yang bergejala dirujuk ke klinik kesihatan,” tegas beliau lagi.

SOP terperinci berkaitan banjir jelasnya, boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi Nadma dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar setiap mangsa akur dengan garis panduan itu

Ismail Sabri turut menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak bagi elak perkara tidak diingini serta mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya