KPN, tiga pihak lain mohon batal saman guru tadika - Utusan Malaysia

KPN, tiga pihak lain mohon batal saman guru tadika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain memohon untuk membatalkan saman difailkan guru tadika, M. Indira Gandhi berhubung dakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 13 tahun yang dilarikan lelaki itu, 12 tahun lepas.

Peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira memberitahu, permohonan untuk membatalkan saman itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Safiyyah Omar kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof ketika prosiding berlangsung menerusi sistem dalam talian (e-Review), hari ini.

Safiyyah yang bertindak bagi pihak kesemua defendan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan untuk membatalkan saman itu telah diserahkan kepada Indira selaku plaintif.

“Permohonan plaintif supaya KPN menjawab 48 soalan berhubung siasatan ke atas bekas suaminya juga telah diserahkan kepada defendan pertama (KPN) hari ini,” kata peguam itu.

Menurut Rajesh, pengurusan kes selanjutkan ditetapkan pada 19 Februari ini menerusi e-Review, juga di hadapan Idamasliza.

Pada 11 Januari lalu, Indira memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Indira antara lain memohon KPN menjawab soalan berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia, selaku defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan Prasana Diksa kepadanya.

Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, bagi melaksanakan waran
komital terhadap Muhammad Riduan seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan, pada 29 April 2016.

Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.

Oleh itu, Indira antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah, selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat, bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya