DALAM Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wan Saiful Wan Jan yang buat pertama kalinya bertanding, tewas di Parlimen Pendang.
Beliau yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018 itu tewas kepada calon Pas, Awang Hashim yang menang dengan majoriti 5,808 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Wan Saiful yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea) memperoleh undi sebanyak 14,901 dengan turut ketinggalan di belakang calon Barisan Nasional (BN), Othman Abdul yang memperoleh 20,728 undi.
Selepas Pendang, persoalan kini di manakah destinasi Ketua Penerangan Bersatu itu akan bertanding dalam PRU-15 dengan ramai melihat, Wan Saiful berkemungkinan mencuba nasib di Perlis yang sudah cukup sinonim dengan beliau.
Sejak 2018 lalu, Wan Saiful cukup aktif dengan boleh dikatakan setiap minggu berada di Perlis menyertai program-program parti termasuk pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu negeri.
Selain mempunyai hubungan rapat dengan kepemimpinan tertinggi Bersatu, hubungan Wan Saiful juga baik dengan kepemimpinan Bersatu di Perlis serta diterima oleh akar umbi.
Sebelum ini, Pengerusi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu disebut-sebut akan bertanding sebagai Ketua Bersatu Bahagian Arau dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, namun ‘berubah fikiran’ dengan hanya bertanding jawatan di peringkat pusat sebagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan tidak ada masalah mengekalkan jawatan itu.
Sebelum ini, ramai berpandangan Bersatu sukar mendapat tempat di Perlis namun jika dipertaruhkan calon yang mempunyai aura dan latar belakang yang cemerlang, Wan Saiful adalah antara paling sesuai diketengahkan di negeri ini.
Sebagai antara pemimpin kanan parti, kehadiran Wan Saiful di Perlis dilihat boleh memberi impak besar kepada Bersatu di negeri ini.
Menurut sumber, Wan Saiful antara pemimpin yang cukup dikenali sejak dari zaman Idea lagi.
“Di Perlis kita tidak ada calon yang mempunyai nama besar seperti dalam UMNO ada Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pas ada Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin. Jika Wan Saiful bertanding di Perlis sekurang-kurangnya boleh memberi sedikit impak,” katanya. – UTUSAN










