Kartel dan ‘alibaba’ boleh bunuh kontraktor kecil Melayu

Kartel, ‘alibaba’ bunuh kontraktor Melayu

MOHD. YUSOF MOHD. TAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kegiatan kartel da­lam industri pembinaan yang didakwa semakin berleluasa perlu segera diben­dung membabitkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Mohd. Yusof Mohd. Tahir berkata, jika kegiatan tersebut terus dibiarkan bermaharajalela, ia pasti akan membunuh kontraktor-kon­traktor Melayu di negara ini.

Jelasnya, kegiatan kartel ter­babit selain dimonopoli oleh golongan kontraktor berduit, juga didalangi oleh individu dari jabatan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam industri pembinaan.

“Kalau soal aduan, memang banyak dibuat tetapi tindakannya nampak sepi. Sepatutnya, bila ada aduan pihak Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) seharus­nya terus siasat kenal pasti dalang terlibat.

“Selepas itu, jika CIDB dan PKK mendapati laporan yang di­kemukakan tersebut benar, ma­ka ia perlu dilaporkan kepada SPRM bagi membolehkan tindakan lanjut diambil jika ada salah guna kuasa,” katanya kepada Utu­san Malaysia di sini semalam.

Mohd. Yusof berkata, pertambahan jumlah kontraktor G1 yang memiliki sijil taraf bumiputera (STB) kepada lebih 34,000 pada ketika ini membimbangkan.

“Kita bimbang kontraktor baharu ini akan diurus selia oleh kartel ini sukar dielakkan. Jadi mereka (kontraktor kecil) hanya makan peratus sahaja, yang untung dan makin kaya adalah kartel terbabit,” katanya.

Beliau juga meminta ketua-ketua jabatan di agensi kerajaan yang terlibat dengan bahagian teknikal se­perti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengambil tahu tentang anak buah mereka di peringkat bawahan.

“Ini kerana ada dakwaan, individu di jabatan berkenaan ambil ke­sempatan dengan mewujudkan lesen-lesen untuk mendapatkan kerja. mereka kawal le­sen. Akhirnya yang dapat kontrak kroni mereka,” dakwanya.

Selain isu kartel, beliau yang juga Yang Dipertua Perkobf Pahang turut meminta CIDB dan PKK menyiasat sesetengah kontraktor Melayu yang bertindak mengalibabakan projek mereka.

Beliau berpendapat, faktor ke­­kurangan modal antara punca kontraktor-kontraktor kecil berbuat demikian selain ada yang menggunakan lesen-lesen baharu.

“Jadi perkara ini pihak atasan perlu siasat apa yang berlaku terutama CIDB dn PKK. Tambahan lagi sekarang CIDB mensyaratkan setiap lesen G1 perlu melalui kursus Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) bagi pembaharuan sijil CIDB, ini juga antara yang membebankan kontraktor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya