PUTRAJAYA: Isu pertindihan alamat pengundi setiap kali pilihan raya umum akan dapat diatasi apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan alamat tempat tinggal seseorang itu wujud sekali gus tidak membenarkan orang lain menggunakan alamat mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan itu perlu untuk kegunaan SPR dalam pendaftaran pengundi supaya tidak berlaku sejumlah orang mendaftar di alamat yang sama.
“Bermula awal 2019, JPN mewajibkan pertukaran alamat dalam kad pengenalan (MyKad) dengan perlu mengemukakan bil utiliti atau dokumen sokongan lain bagi mengelak penggunaan alamat orang lain secara tidak sah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Menurut beliau, berbeza sebelum ini, maklumat alamat tempat tinggal yang didaftarkan seseorang dalam sistem kerajaan yang terkandung dalam cip MyKad adalah tidak sama dengan alamat yang tertera pada MyKad.
Hal ini, kata beliau, bukan sahaja menyukarkan mengenal pasti lokasi tempat tinggal seseorang, malah boleh mendedahkan individu kepada kes-kes jenayah dan kegiatan penipuan jika terdapat pihak menyalahgunakan alamat untuk tujuan salah.
Sebagai contoh katanya, terdapat kes jenayah baru-baru ini melibatkan ah long yang ‘tersalah rumah’ menyimbah cat merah kerana menyangka rumah itu diduduki oleh penghutang.
Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata, pihaknya memandang serius isu integriti dalam kalangan kakitangan JPN dan bermula tahun ini agensi berkenaan dinaik taraf sebagai salah satu agensi berisiko tinggi sebagaimana agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, beliau tidak sekali-kali berkompromi jika ada antara kakitangan terlibat dalam penipuan, pelanggaran integriti dan jenayah rasuah dan mana-mana anggota yang didapati melakukan kegiatan sedemikian akan dikenakan tindakan tegas.
“Saya amat tegas dalam hal ini dan tidak akan melindungi sesiapa jika ada terlibat sebarang kes khususnya melibatkan pengeluaran dokumen secara tidak sah.
“Bagaimanapun, setakat ini tidak ada anggota terlibat dalam pengeluaran MyKad palsu dan saya akan pastikan ia tidak akan berlaku,” katanya. – UTUSAN









