Henti salahkan hujan, ambil tindakan tegas cegah banjir 

Henti salahkan hujan, ambil tindakan tegas cegah banjir – CAP

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan ke atas punca sebenar kejadian banjir di negara ini dan tidak lagi memberi alasan hujan luar biasa menjadi penyebab berlakunya masalah tersebut. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, tinjauan CAP mendapati aktiviti pembalakan tidak terkawal, kerja-kerja pengambilan pasir dan kemusnahan hutan secara berleluasa serta pelaksanaan projek pembangunan tidak dirancang dengan teliti menjadi punca utama kejadian banjir. 

Ujar beliau, banyak kawasan tadahan dan takungan air termasuk paya gambut di negara ini terancam dan berlaku kejadian hakisan serta mendapan lumpur sehingga menjejaskan sistem saliran, sungai, tasik dan empangan.

“Kerajaan sepatutnya bukan hanya mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang sedang berlaku, tetapi perlu memberi perhatian utama kepada puncanya dengan memastikan perancangan fizikal yang cekap serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang ada dengan tegas. 

“CAP kesal walaupun ancaman banjir semakin serius, namun punca-punca kejadian itu masih gagal ditangani dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohideen, tindakan bersepadu antara semua jabatan dan agensi yang terlibat perlu dilaksanakan segera bagi menangani masalah banjir. 

Katanya, kerajaan juga harus mempertimbangkan impak perubahan iklim kerana akan membawa kepada peningkatan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir. 

“CAP bimbang jika ancaman banjir seperti ini berterusan, bukan saja menjejaskan ekonomi negara, malah sektor pertanian yang merupakan nadi kehidupan rakyat. 

“Kita juga menuntut tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai dan pihak politik yang terlibat di dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan aktiviti-aktiviti yang merosakkan bukit, kawasan tadahan air dan sungai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya