LONDON: Bayern Munich berminat mendapatkan khidmat Marcus Rashford selepas penyerang Manchester United itu dimasukkan dalam senarai panjang perpindahan ke kelab Jerman itu.
Rashford, 27, semakin terpinggir di Old Trafford dan kali terakhir beraksi untuk Red Devils pada Disember lalu sebelum dipinjamkan ke Aston Villa untuk baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Di Villa Park, Rashford mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan menjaringkan empat gol serta mencipta enam bantuan jaringan dalam 17 penampilan di semua kejohanan.
Bagaimanapun, Aston Villa pada awal minggu ini mengesahkan mereka tidak akan mengaktifkan pilihan pembelian kekal Rashford yang dianggarkan bernilai 40 juta pound (RM230.1 juta).
Penyerang England itu turut dikaitkan dengan beberapa kelab utama Eropah musim panas ini, termasuk Newcastle dan Barcelona, dengan kelab Catalan itu dikatakan sebagai destinasi impiannya.
Media Jerman melaporkan Bayern kini turut menyertai persaingan untuk mendapatkan Rashford selepas gagal dapat perebutan Florian Wirtz yang memilih untuk menyertai Liverpool dengan perpindahan bernilai 116 juta pound (RM667.5 juta).
Pasukan kendalian Vincent Kompany turut dikaitkan dengan pemain sayap Athletic Club, Nico Williams manakala penyerang Stuttgart, Nick Woltemade dilaporkan menjadi sasaran utama mereka di posisi penyerang tengah.
Laporan itu menyebut bahawa Rashford telah dimasukkan ke dalam senarai sasaran Bayern kerana profilnya yang dianggap ‘sempurna’ iaitu boleh beraksi di bahagian sayap mahupun di posisi penyerang utama. – AGENSI/UTUSAN










