Carrick dahului senarai utama dipecat?

Carrick dahului senarai utama dipecat?

Michael Carrick
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus mana paling awal bakal dipecat kini menjadi taruhan selepas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2026/2027 bermula pada minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laman pertaruhan Betfair kini menyenaraikan pengurus Manchester United, Michael Carrick sebagai calon utama selepas tewas pada aksi pembukaan.

Menurut Betfair, United sudah ada beberapa calon pilihan untuk menggantikan Carrick sebagai pengendali The Red Devils sekiranya dia kehilangan jawatan itu.

Kekalahan mengejut 0-2 kepada pasukan yang baru dinaikkan liga, Hull City, Sabtu lalu menimbulkan persoalan terhadap United, walaupun mereka menguasai bola untuk tempoh panjang.

Selepas menamatkan musim lalu dengan baik, memperkuatkan skuad menerusi beberapa pemain baharu serta menjalani pramusim yang agak positif, United sebaliknya mempamerkan aksi hambar ketika berdepan Hull.

Skuad United juga masih dilihat kurang mantap di beberapa posisi, lebih-lebih lagi dengan saingan Liga Juara-Juara Eropah yang perlu diharungi musim ini.

Anak buah Carrick sebelum ini dijangka memulakan kempen dengan baik apabila dijadualkan berdepan Hull dan Ipswich dalam dua perlawanan pertama sebelum bertandang ke Everton pada aksi minggu ketiga.

Bagaimanapun, kekalahan kepada Hull mencetuskan kebimbangan, termasuk dalam pasaran pertaruhan.

Firma sama turut menyenaraikan beberapa calon untuk menggantikan Carrick dengan bekas pengendali Newcastle United, Eddie Howe menjadi pilihan utama untuk mengambil alih jawatan di Old Trafford.

Howe meninggalkan Newcastle pada musim panas untuk berehat daripada dunia kejurulatihan, namun kini disenaraikan sebagai calon menggantikan Carrick. Julian Nagelsmann dan Thomas Tuchel turut berada dalam senarai.

“Carrick kini menjadi pilihan utama untuk menjadi pengendali kedua yang meninggalkan jawatannya dalam saingan musim 2026/2027, selepas kekalahan mengejut The Red Devils kepada Hull pada hari pembukaan.

“Sergej Jakirovic dan Frank Lampard masing-masing berada sebagai pilihan kedua dalam senarai. Pengendali Tottenham, Roberto De Zerbi turut berisiko dipecat susulan kekalahan pasukannya kepada Brentford.

“Sementara itu, Unai Emery juga berada dalam senarai tertinggi selepas juara Liga Europa, Aston Villa, dibelasah 4-0 oleh Brighton, Ahad lalu.

“Calon lain yang berdepan risiko meninggalkan jawatan masing-masing termasuk Matthias Jaissle dan Regis Le Bris,” kata jurucakap Betfair, Sam Rosbottom. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN