PETALING JAYA: Sebanyak 3.14 juta kes kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024.
Daripada jumlah tersebut, secara puratanya kira-kira 1,720 kemalangan berlaku dalam sehari sepanjang tempoh tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, antara punca utama kemalangan disebabkan penggunaan alat telekomunikasi, terbabas sendiri dan kecuaian.
“Antaranya cuai ketika hendak keluar atau masuk simpang serta menggunakan alat telekomunikasi.
“Selain itu, tidak nampak atau perasan ada kenderaan, objek atau binatang di depan atau sebelah turut menjadi faktor kemalangan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Yusri, berdasarkan analisis pihak polis, kes kemalangan dilihat meningkat terutamanya sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, sebanyak 567,516 kes dicatatkan pada 2019; 418,237 kes (2021); 370,286 kes (2021); 545,588 kes (2022), 599,967 kes pada 2023 manakala tahun lalu adalah 638,060 kes.
“Kenderaan yang paling banyak terlibat dengan kemalangan jalan raya adalah kenderaan jenis kereta. Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 550,095 kereta terbabit dengan kemalangan diikuti motosikal iaitu 102,545 buah,” katanya.
Ditanya sama ada peningkatan jumlah kenderaan turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya, beliau tidak menafikan ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan.
“Kita dapat lihat saban tahun, kenderaan berdaftar semakin bertambah. Mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi tahun ini, jumlah kenderaan berdaftar adalah sebanyak 36.63 juta buah.
“Bagaimanapun, kadar kemalangan juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti pematuhan undang-undang, keadaan jalan raya dan tahap kesedaran pemandu,” ujar beliau.
Menurut Mohd. Yusri, walaupun jumlah kemalangan semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun pihaknya dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut melalui operasi-operasi dijalankan.
Katanya, sebagai contoh, jumlah kemalangan maut dalam Op Lancar sempena Aidiladha baru-baru ini menurun daripada 84 kes tahun lalu kepada 58 kes tahun ini.
“Sejak saya mengemudi jabatan ini, saya memperkenalkan visi baharu dalam memperkasakan penguatkuasaan, siasatan selain meningkatkan integriti dalam operasi penguatkuasaan selain memberi kesedaran keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Kita turut memperbanyakkan operasi-operasi antaranya Op Samseng Jalanan, Op Lampu Merah, Op Mabuk, Op Selamat serta Op Lancar bagi mengurangkan kadar kemalangan.
“JSPT juga banyak bekerjasama dengan agensi berkaitan selain meningkatkan kempen bagi pengguna jalan raya memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kemalangan jalan raya terutamanya musim perayaan. Bayangkan, satu kemalangan akan menyebabkan kesesakan sehingga berkilometer,” katanya. – UTUSAN











