RUU cukai Trump ‘ragut’ manfaat rakyat AS

RUU cukai Trump ‘ragut’ manfaat rakyat AS

SEORANG lelaki membawa bendera AS semasa perhimpunan kebangsaan ‘No Kings’ bagi membantah pentadbiran Donald Trump di bandar Austin, Texas, pada 14 Jun lepas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Hampir semua lapisan rakyat di Amerika Syarikat (AS), termasuk warga emas, pelajar, pembayar cukai, kanak-kanak dan golongan berpendapatan rendah berdepan tekanan kos sara hidup semakin meningkat susulan rang undang-undang (RUU) cukai dan perbelanjaan baharu yang diluluskan di Capitol Hill.

Republikan menamakan RUU cukai dan perbelanjaan terbaharu itu sebagai One Big Beautiful Bill Act, satu inisiatif yang dikaitkan dengan Presiden Donald Trump.

RUU, yang diluluskan Senat kelmarin dengan undian penentu oleh Naib Presiden, JD Vance, membawa pelbagai perubahan besar terhadap sistem percukaian dan jaringan keselamatan sosial, dengan impak menyeluruh terhadap hampir setiap isi rumah di negara itu.

RUU itu bertujuan melanjutkan pemotongan cukai yang diperkenalkan semasa penggal pertama Trump, membiayai pembinaan tembok sempadan dan menampung kehilangan hasil serta perbelanjaan tambahan dengan memotong beberapa bentuk sokongan persekutuan.

Ini termasuk program yang membantu rakyat Amerika mendapatkan makanan dan insurans kesihatan.

SYARAT BAHARU MEDICAID

Jutaan rakyat AS dijangka kehilangan perlindungan kesihatan susulan perubahan besar dalam program Medicaid menerusi RUU baharu itu.

Antara perubahan utama ialah pengenalan syarat kerja mandatori bagi penerima Medicaid yang sihat dan berumur antara 19 hingga 64 tahun.

Mereka diwajibkan bekerja, menjadi sukarelawan, menyambung pelajaran atau menjalani latihan pekerjaan sekurang-kurangnya 80 jam sebulan.

Penerima Medicaid berdepan semakan kelayakan lebih kerap serta kemungkinan dikenakan bayaran sehingga AS$35 (RM147) bagi rawatan tertentu.

Dengan pemotongan dana persekutuan, beberapa negeri mungkin mengurangkan manfaat atau memperketatkan kelayakan.

Menurut anggaran Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), hampir 12 juta rakyat AS dijangka tidak memiliki insurans kesihatan menjelang 2034, dengan majoriti kehilangan perlindungan akibat perubatan terhadap Medicaid.

PENERIMA KUPON MAKANAN

Lebih ramai rakyat AS bakal kehilangan akses kepada kupon makanan, susulan pelaksanaan syarat kerja baharu dalam RUU tersebut.

Syarat kerja yang sebelum ini terhad kepada golongan muda kini diperluaskan kepada penerima berumur 55 hingga 64 tahun, termasuk ibu bapa kepada anak berusia 14 tahun ke atas, veteran dan golongan gelandangan.

Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP), nama rasmi bagi kupon makanan, juga akan menyaksikan perubahan besar dalam pembiayaan.

Banyak negeri buat kali pertama perlu menanggung sebahagian kos manfaat dan pentadbiran, langkah yang boleh mendorong pengurangan bantuan, syarat kelayakan lebih ketat atau kemungkinan menarik diri daripada program.

Malah, pertumbuhan nilai bantuan makanan akan dihadkan pada masa hadapan, sekali gus menambah bebas kos hidup kepada golongan berpendapatan rendah.

WARGA EMAS TERKESAN

Warga emas di AS bakal menerima potongan cukai tambahan sebanyak AS$6,000 (RM25,282) bermula 2025 hingga 2028, namun manfaat itu hanya sementara dan akan dikurangkan bagi mereka yang berpendapatan tinggi.

Namun, warga emas berpendapatan rendah yang menerima Medicare dan Medicaid berisiko terjejas akibat pemotongan dana Medicaid.

Mereka mungkin kehilangan perlindungan penting yang membantu membayar kos rawatan, termasuk penjagaan jangka panjang dan perkhidmatan pergigian.

PINJAMAN PELAJAR

Pemegang pinjaman pelajar di AS turut terkesan, dengan had baharu dikenakan terhadap jumlah pinjaman pelajar persekutuan bagi siswazah serta ibu bapa yang membiayai yuran anak.

Peluang untuk menangguhkan bayaran balik juga akan dikurangkan, termasuk bagi pelajar separuh masa.

Pilihan bayaran balik pula akan lebih terhad, dengan RUU itu mengurangkan kebergantungan kepada program pengampunan hutang yang diperkenalkan semasa pentadbiran Biden.

PENDATANG HILANG MANFAAT

RUU baharu itu turut mengehadkan kelayakan pendatang untuk menerima bantuan kerajaan persekutuan, termasuk SNAP, Medicaid, subsidi premium di bawah Akta Penjagaan Mampu (ACA) dan Medicare.

Beberapa kumpulan pendatang yang sebelum ini layak, seperti pelarian, pemohon suaka serta mangsa keganasan rumah tangga dan permerdagangan seks, kini berisiko disingkirkan daripada senarai penerima.

Rang undang-undang itu juga memperkenalkan fi baharu dan kenaikan bayaran bagi permohonan berkaitan imigresen, termasuk untuk suaka, permit kerja, parol kemanusiaan, Status Perlindungan Sementara (TPS) dan pemfailan kes di mahkamah imigresen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN