Elaun guru takmir tidak dipotong  - Utusan Malaysia

Elaun guru takmir tidak dipotong 

AHMAD Marzuk Shaary (tengah) menyampaikan beg sekolah kepada pelajar sambil diperhatikan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek (kiri) pada majlis penyampaian sumbangan program Jom Ke Sekolah 2021 di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Demi kelangsungan hidup 4,000 guru takmir di seluruh negara, kerajaan memutuskan pembayaran elaun sebanyak RM900 sebulan akan tetap diteruskan walaupun aktiviti pembelajaran dan pengajaran di masjid-masjid tidak dapat dijalankan secara menyeluruh ekoran Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan memahami sebahagian daripada ustaz dan ustazah yang menjadikan guru takmir sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga masing-masing.

“Walaupun aktiviti guru takmir terhalang kerana penularan Covid-19 yang masih belum reda, kerajaan telah memutuskan pembayaran elaun bulanan mereka tetap dibayar seperti biasa. Kita tahu ini sahaja sumber pendapatan yang mereka ada.

“Dalam pada itu, kita sedang merancang untuk guru-guru takmir menjalankan aktiviti pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian memandangkan beberapa negeri masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Amat perlu untuk menjaga soal kebajikan guru-guru takmir kerana mereka ini adalah tulang belakang kepada asas untuk menyedarkan masyarakat mengenai ilmu fardu ain dan sebagai pendidik asas untuk memperteguhkan syiar Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Jom Ke Sekolah 2021 di Japerun Durian Tunggal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, setakat ini kaedah pembelajaran secara dalam talian telah dimulakan di beberapa masjid di Kuala Lumpur dan ia akan dikembangkan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Ujarnya, dalam perkembangan teknologi terkini di negara ini, sudah sewajarnya ustaz dan ustazah didedahkan dengan kaedah pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian memandangkan penularan Covid-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda pulih.

Sementara itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta melalui Yayasan Taqwa bagi membantu seramai 13,000 pelajar yang di seluruh negara daripada keluarga B40 bagi menjayakan Program Jom Ke Sekolah 2021.

Ujarnya, setiap pelajar menerima sumbangan bantuan dalam bentuk barangan persekolahan bernilai RM170 dan setakat ini program ini telah menjelajah ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Program ini akan diteruskan di beberapa negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya