KUALA LUMPUR: Meskipun Perikatan Nasional (PN) tidak berhasrat mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga habis penggal kerajaan iaitu pada 2023, gabungan parti pemerintah itu harus mengambil kira ancaman beberapa pihak termasuk UMNO dan pembangkang.
Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, ini kerana UMNO masih mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat manakala pembangkang sedang berusaha mendapatkan sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.
Katanya, jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berterusan berdepan dengan ancaman tersebut, besar kemungkinan beliau terpaksa mengadakan PRU-15 lebih awal.
“Memang wajar PRU-15 dilewatkan sehingga 2023 bagi memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dan Covid-19 tetapi perlu ingat UMNO masih mahu adakan pilihan raya umum kerana mereka percaya boleh menang.
“Ada dalam kalangan ahli UMNO merasakan mereka sepatutnya memimpin negara dan tidak boleh menerima Bersatu sebagai parti pemerintah. Hubungan UMNO dengan Pas juga tidak begitu baik ketika ini, jika ini berterusan Muhyiddin mungkin perlu berunding dengan beberapa parti pembangkang untuk mengukuhkan kedudukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada masa sama, Mazlan berkata, PN tidak boleh memandang rendah kekuatan pembangkang biarpun mereka gagal dalam usaha usul undi tidak percaya dan menolak Belanjawan 2021 di Parlimen.
“Pembangkang juga mempunyai wakil yang ramai dan suara besar di Parlimen, Muhyiddin perlu pertimbangkan beberapa permintaan pembangkang bagi membentuk pendekatan politik berdamai, kalau tidak kedudukannya akan terus digugat,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang menjangkakan PRU-15 bakal diadakan menjelang tempoh penggal kerajaan yang akan berakhir pada 2023.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr. Tawfik Yaakub pula menganggap wajar untuk mengadakan PRU-15 selepas ekonomi pulih dan rakyat bebas daripada Covid-19, namun perubahan kerajaan sekali lagi dalam tempoh terdekat adalah sesuatu yang tidak akan dimaafkan oleh rakyat.
“Kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal sekalipun, tidak ada masalah untuk PN memandangkan pembangkang gagal dalam usul tidak percaya dan Belanjawan 2021, tetapi jika ada pihak yang menukar kem sekali lagi, rakyat akan menghukum mereka pada PRU-15,” katanya. – UTUSAN










