Darurat demi mudahkan kerajaan urus Covid-19 - Utusan Malaysia

Darurat demi mudahkan kerajaan urus Covid-19

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan darurat yang dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini meletakkan keutamaan untuk mempermudahkan segala tindakan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah ordinan darurat yang akan diwartakan, kerajaan boleh mengarahkan hospital swasta menerima pesakit Covid-19 selain membolehkan makmal mereka turut diguna pakai bagi melaksanakan ujian saringan.

Kata beliau, ini termasuk membolehkan hospital swasta digunakan untuk fasiliti kuarantin jika fasiliti kesihatan awam tidak mampu lagi menampung kes-kes Covid-19.

“Di bawah ordinan darurat juga memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama seperti polis iaitu untuk menangkap dan dibawa ke lokap bagi kes-kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) merentasi sempadan terutama di laluan tikus.

“Kementerian Sumber Manusia juga boleh mengambil tindakan ke atas majikan yang berdegil tidak menghantar pekerja mereka melakukakan ujian saringan.

“Jadi banyak perkara boleh membantu kerajaan untuk mengatasi masalah pandemik Covid-19 yang sedang meningkat. Sebab itu pelaksanaan darurat diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, polis menahan 389 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 371 dikompaun manakala 18 direman.

Antara kesalahan itu katanya, tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan rekod butiran diri pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (61), membawa penumpang berlebihan (27), aktiviti pusat hiburan (16), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (9) dan aktiviti perjudian (8).

Jelas beliau, selain kesalahan itu ialah membawa pekerja asing tanpa permit atau gagal kemukakan dokumen pengenalan diri (7), ingkar arahan kuarantin (1) serta makan atau minum di premis tanpa kebenaran (3) dan lain-lain kesalahan (16).

“Operasi Benteng berjaya menangkap 138 PATI dan enam orang tekong serta merampas sebuah bot atau kapal dan 13 kenderaan darat selain sebanyak 267 sekatan jalan raya.

“Mengenai kuarantin wajib, secara kumulatif seramai 103,140 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu seramai 7,963 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 82 hotel dan 16 premis lain,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, sehingga semalam sebanyak 275 kertas siasatan telah dibuka pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 138 masih dalam siasatan, manakala 35 kes didakwa di mahkamah, 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

“Dalam masa sama sebanyak 420 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sehingga 12 Januari lalu, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 142,009 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 5,164 majikan.

“Daripada jumlah ini sebanyak 2,846 disahkan positif dan kerajaan telah menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya