Aktifkan PAC sebagai semak dan imbang - Utusan Malaysia

Aktifkan PAC sebagai semak dan imbang

DR SHAMRAHAYU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan untuk mengaktifkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa lain di bawah Parlimen bagi membolehkan proses semak dan imbang ketika darurat.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, pengaktifan semula jawatankuasa itu dilihat sebagai mekanisme semak dan imbang dan mengekalkan kedaulatan undang-undang walaupun ketika ini sesi persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung.

Kata Shamrahayu, ramai yang mempertikaikan soal `pencerobohan’ terhadap sistem demokrasi berparlimen serta semak dan imbang ketika darurat yang menuntut kepada penggantungan Parlimen dan DUN.

“Saya menggesa agar jawatankuasa di bawah Parlimen digerakkan menjadi mekanisme lain untuk semak dan imbang. Walaupun darurat, kita masih ada perundangan yang perlu diikuti, malah tugas semak dan imbang ini dapat dilaksanakan pelbagai jawatankuasa di peringkat Parlimen.

“Agensi kerajaan dan rakyat juga boleh menjadi mekanisme semak dan imbang bagi memastikan tiada isu penyalahgunaan kuasa berlaku,” katanya dalam program siri webinar bertajuk PKP2.0 (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Darurat: Situasi Ekonomi dan Sosial anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM) secara dalam talian semalam.

Webinar yang dikendalikan Pensyarah Business School Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan itu turut dibarisi panel iaitu Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial APM, Prof. Dr. Jamal Othman dan Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Shamrahayu berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan semak dan imbang selepas kerajaan melaksanakan darurat sekali gus meletakkan kerajaan berkuasa ke atas agihan kewangan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu membentangkan pelan terperinci bagi menangani penularan wabak Covid-19 menerusi penggubalan ordinan baharu seperti mekanisme membendung wabak menerusi kemungkinan pelaksanaan perintah berkurung dan mempertimbangkan peruntukan moratorium.

“Kalau lihat kepada unjuran Kementerian Kesihatan, kita akan merekodkan peningkatan kes melebihi 8,000 kes sehari, justeru, saya harap ordinan Covid-19 boleh meredakan kebimbangan ini. Sekiranya tidak ditangani di peringkat awal, penularan Covid-19 berupaya melumpuhkan kemudahan dan sistem kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya