Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim baharu

Abdul Aziz Ketua Pengarah Jakim baharu

ABDUL AZIZ JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi itu yang baharu. 

Pelantikan beliau bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas pemergian Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya pada 8 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Abdul Aziz dipilih menggalas jawatan itu selepas mengambil kira pengalaman luas beliau berkhidmat di Jakim selama lebih 34 tahun dan dalam perkhidmatan awam khususnya pentadbiran hal ehwal Islam.

Menurut beliau, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu merupakan seorang yang berintegriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang sepanjang perkhidmatan.

“Beliau diterima baik oleh rakan strategik utama Jakim dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan seluruh warga Jakim.

“Dengan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kerajaan yakin beliau mampu untuk menerajui Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, Abdul Aziz yang mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London itu, memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1986.

Selain itu, katanya, beliau pernah menyandang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada tahun 2018 hingga tahun lalu.

Sebelum itu, beliau memberitahu, Abdul Aziz memegang jawatan Pengarah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selama dua tahun.

“Beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Jakim Cawangan Sarawak selain ditugaskan ke Indonesia sebagai Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta pada tahun 2009 hingga 2013.

“Selain Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Jepun sebagai Pegawai Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo pada tahun 1997,” katanya.

Antara jawatan lain dipegang beliau ialah Ketua Penolong Pengarah (Agama), Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman pada tahun (2008-2009); Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jakim pada tahun (2005- 2009).

Zulkifli berkata, kerajaan berharap dengan pelantikan itu dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi Hal Ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

Hal ini katanya, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif dan progresif.

Ini termasuk membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat.

“Saya mewakili kerajaan juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada keluarga almarhum Paimuzi atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya. 

“Semoga sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara menjadi neraca amal kebaikannya di akhirat kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya