152 individu dikompaun, ramai ingkar pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

152 individu dikompaun, ramai ingkar pakai pelitup muka

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 152 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis atas pelbagai kesalahan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemuanya dikompaun dengan kes paling tinggi direkodkan kerana tidak memakai pelitup muka iaitu 70.

“Ini diikuti gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (64), tidak mematuhi arahan penjarakkan fizikal (5) dan lain-lain (13),” kata beliau dalam sidang akhbar hari ini.

Seramai 2,792 pasukan pematuhan meliputi 12,611 anggota memantau 3,177 pasar raya, 4,373 restoran, 1,165 kilang, 1,252 pasar awam, 2,999 rumah ibadah dan 1,217 tempat riadah.

Sejumlah 29 pendatang asing tanpa izin ujarnya, ditahan di seluruh negara melalui Operasi Benteng bagi kekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Empat buah kenderaan darat dan tiga bot dirampas manakala sebanyak 109 sekatan jalan raya dilakukan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga semalam seramai 7,805 individu balik ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 89,941 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 74 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa sebanyak 45 operasi sanitasi awam turut dilaksanakan yang melibatkan sejumlah 10 buah negeri serta kesemua tiga wilayah persekutuan.

Ia ujar beliau, membabitkan seramai 270 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 114 anggota daripada pihak berkuasa tempatan serta 38 buah jentera JBPM.

Sementara itu, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di 17 tapak binaan semalam turut mendapati kesemuanya adalah mematuhi peraturan SOP ditetapkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya