DUNGUN: Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu terkilan tidak dapat meraikan kejayaannya meraih Anugerah Naib Canselor bersama keluarga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur dan Kelantan.
Ahmad Ikhwan Fitri Arefin, 25, berkata, kekangan PKPB menyebabkan dia terpaksa akur untuk hadir berseorangan dalam Majlis Penganugerahan Diploma dan Ijazah 2020 yang diadakan di Dewan Aspirasi di sini bermula semalam.
Anak yatim piatu yang berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan kampus sama itu berkata, walaupun tanpa kehadiran kedua ibu bapa yang sudah pergi menghadap Ilahi, namun dia tetap berbangga dapat memenuhi impian orang tuanya, Arefin Omar dan Hamidah Hussin untuk menjadi pelajar cemerlang.
“Adik-beradik lain tinggal di Kelantan dan Kuala Lumpur yang ketika ini masih dalam tempoh PKPB.
“Sedih dan sebak apabila tengok kawan-kawan lain merakamkan gambar bersama keluarga, tetapi saya pula hanya seorang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ahmad Ikhwan Fitri merupakan antara 289 graduan UiTM Cawangan Terengganu yang menerima diploma dan ijazah masing-masing menerusi majlis penganugerahan secara norma baharu.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Madya Ts. Dr. Mazidah Puteh berkata, majlis penganugerahan tersebut diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.
“Majlis ini diadakan untuk meraikan graduan UiTM yang bermastautin di Terengganu, tidak kira dari kampus mana kerana ia sebagai satu inisiatif untuk kita meraikan kejayaan mereka yang telah tamat pengajian.
“Di pihak pengurusan, kita cuba mewujudkan suasana terbaik untuk graduan merasai pengalaman konvokesyen dengan setiap mereka dan ibu bapa masing-masing perlu mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, menjalani saringan suhu badan, dan menggunakan masa 15 minit untuk sesi fotografi dalam dewan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










