KEMAMAN: Permintaan tinggi terhadap pelbagai jenis ubi ketika musim tengkujuh mendorong seorang peniaga buah-buahan tempatan dari Kampung Padang Lalang di sini beralih menjual hasil pertanian itu.
Zaidah Ramli, 50, berkata, sejak memulakan perniagaan itu pada awal Oktober lalu pendapatannya meningkat hingga mencecah RM300 sehari menerusi penjualan lebih 20 kilogram ubi.
“Saya menjual 10 jenis ubi dan memang jauh bezanya semasa menjual buah yang cuma mendapat kira-kira RM100 sehari.
“Pada musim ini ubi kayu paling laris kerana dijadikan hidangan bersama kelapa untuk dimakan pada waktu hujan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Zaidah, antara ubi yang dijualnya ialah ubi kayu, itik, gajah, keladi minyak di samping pelbagai keledek iaitu oren, merah, kuning dan ungu dengan anggaran harga antara RM4 hingga RM10 sekilogram bergantung kepada jenis.
Katanya, bekalan ubi kayu diambil daripada petani tempatan manakala ubi jenis lain dibeli menerusi pembekal di pasar borong Kemaman.
Ujarnya, limpahan rezeki pada musim tengkujuh memberi kelegaan kepadanya dan suami kerana perlu membiayai tiga anak yang masih belajar dengan dua daripadanya menuntut di universiti.-UTUSAN ONLINE