Pakistan, China kemuka pelan damai Asia Barat

Pakistan, China kemuka cadangan pelan damai Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China dan Pakistan mengeluarkan cadangan bersama lima bahagian untuk keamanan di Asia Barat dalam pertemuan di Beijing sambil kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama mereka bagi mempercepatkan usaha menghentikan perang antara AS-Israel dan Iran.

Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar terbang ke Beijing kelmarin bagi mendapatkan sokongan China terhadap usaha mencabar Islamabad untuk merundingkan langkah mengakhiri perang tersebut.

Kedua-dua negara berusaha menjadi perantara di Asia Barat bagi mengelakkan konflik daripada terus merebak, dengan Islamabad menyatakan kesediaannya untuk menganjurkan ‘perbincangan bermakna’ antara AS dan Iran.

Menteri Luar China, Wang Yi memaklumkan bersetuju untuk mengukuhkan komunikasi strategik dan koordinasi mengenai situasi di Iran serta mengkoordinasi langkah baharu untuk mempromosikan keamanan.

“Kami menyokong usaha perantaraan Pakistan yang dilihat selaras dengan kepentingan bersama semua pihak. China menyokong dan menantikan Pakistan memainkan peranan unik dan penting dalam meredakan situasi serta menyambung semula rundingan damai,” kata Wang.

Kementerian Luar Pakistan menyatakan kedua-dua pihak bersetuju pada pelan lima bahagian, bermula dengan usaha menghentikan segera permusuhan dan permulaan rundingan damai secepat mungkin.

Mengenai rundingan, yang dikatakan sedang dijalankan AS  tetapi dinafikan Iran, kerajaan kedua-dua negara menegaskan, dialog dan diplomasi adalah satu-satunya pilihan yang wajar untuk menyelesaikan konflik.

“China dan Pakistan menyokong pihak berkaitan memulakan perbincangan, dengan semua pihak berkomitmen kepada penyelesaian aman pertikaian dan menahan diri daripada menggunakan atau mengancam penggunaan kekerasan semasa rundingan damai,” menurut kementerian luar Pakistan.

Pelan itu juga menyeru agar serangan ke atas orang awam dan sasaran bukan ketenteraan, seperti infrastruktur tenaga dan loji penyahgaraman air dihentikan.

Ia turut menekankan jaminan terhadap laluan selamat bagi kapal awam dan komersial melalui Selat Hormuz yang strategik dengan kedua-dua negara menegaskan keamanan yang berkekalan harus berasaskan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Lawatan Dar berlaku selepas beliau menganjurkan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Mesir dan Turkiye pada Ahad bagi membincangkan usaha mengakhiri perang, yang tercetus akibat serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

China adalah rakan penting Iran tetapi belum mengumumkan bantuan ketenteraan, sebaliknya berulang kali menyeru gencatan senjata.

Teheran menolak mengakui rundingan rasmi dengan Washington tetapi menghantar respons kepada pelan 15 perkara Presiden AS, Donald Trump untuk mengakhiri perang melalui Islamabad, menurut sumber tanpa nama yang dipetik agensi berita Iran, Tasnim.

Dalam pertemuan di Beijing, China turut menyeru budi bicara dan sifat diplomatik dalam konflik Islamabad dengan Afghanistan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN