Kami dalam proses berpisah, keputusan akhir adalah cerai - Marissa Dania Hakim - Utusan Malaysia

Kami dalam proses berpisah, keputusan akhir adalah cerai – Marissa Dania Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enggan diri terus dihimpit kecaman, pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim mengakui dirinya nekad untuk meletakkan titik noktah pada perkahwinannya bersama, Ahmad Aslam.

Menurut Marissa, prosiding lafaz cerai dan rujuk yang dilaluinya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin lalu tertangguh kerana dia belum memberi keterangan.

“Perbicaraan kes kelmarin telah ditangguhkan untuk disambung kerana saya belum memberikan keterangan.

“Kami kini dalam proses berpisah, dan keputusan akhir bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk adalah cerai,” katanya di Instagram Story (Igs).

Pun begitu, anak kepada pelakon, Abby Abadi dan Norman Hakim itu berharap tiada sebarang campur tangan mahupun kenyataan berbangkit daripada mana-mana pihak yang mampu mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya berharap tiada lagi kenyataan daripada mana-mana pihak. Berikan sedikit ruang dan jangan membuat kesimpulan atau andaian sendiri,” tegasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut memberikan kata sokongan dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.

Pada Isnin lalu, Marissa dan Aslam hadir ke mahkamah bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis.

Difahamkan, Aslam pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Susulan itu, kemelut rumah tangga pasangan tersebut kembali menjadi sorotan ramai selepas ibu kepada Marissa, Abby tampil mempertahankan maruah anak perempuannya yang dianggap tidak mendapat layanan sewajarnya sebagai seorang isteri oleh Aslam.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan juga tampil memuat naik kenyataan untuk menjelaskan beberapa perkara berhubung isu kecurangan tersebut selepas namanya terpalit sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN