Tembak PGA: PDRM tubuh pasukan khas bawa balik suspek Thailand

Tembak PGA: PDRM tubuh pasukan khas bawa balik suspek Thailand

HUZIR Mohamed bersama Surina Saad ketika hadir dalam mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kangar, Perlis hari ini. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan satu pasukan khas bagi membawa suspek daripada Thailand yang terlibat dengan insiden tembakan sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini untuk didakwa di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, antaranya, pihak polis akan berhubung dengan Kedutaan Thailand di negara ini bagi membincangkan perkara tersebut.

Katanya, polis juga akan berhubung secara terus dengan pihak berkuasa Thailand di Bangkok berkaitan hal terbabit selain mendapatkan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, beberapa rundingan yang diketuai Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad telah dilakukan dengan pihak berkuasa negara itu bagi mendapatkan suspek-suspek tersebut, namun belum menerima kata putus.

“Menurut polis Thailand, mereka perlu berhubung dengan pihak Bangkok yang akan membuat keputusan sama ada akan menyerahkan suspek itu atau tidak.

“Ketiga-tiga orang kena tahan (OKT) ini amat penting kerana kami percaya salah seorang daripada mereka adalah ketua dan perancang. 

“Sememangnya kita memerlukan mereka supaya kita boleh mengambil tindakan kepada suspek di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kangar di sini hari ini.

Sementara itu, Huzir memberitahu, bagi OKT yang sudah ditahan di negara ini, pihaknya juga akan menyiasat mereka berkaitan insiden tembakan yang berlaku sebelum ini dari pihak yang berada di negara jiran.

“Kita akan melihat kes-kes sebelum ini yang ada kaitan dengan penyeludupan. Jadi kita melihat secara menyeluruh dan tindakan akan diambil terhadap semua suspek.

“Selain itu, kami percaya Op Bersepadu yang diadakan akan memberi kesan positif dalam masa terdekat. Op Bersepadu di sempadan negara juga akan diteruskan selagi kes belum selesai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Surina memberitahu, 15 warga tempatan yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes tembakan di pos TS9, Padang Besar telah diserahkan kepada Polis Kedah hari ini untuk siasatan lanjut berhubung kes tembakan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Mereka sudah habis reman di sini dan kita sudah serahkan kepada Polis Kedah,” ujarnya.

Pada 24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.

Rentetan itu, polis sudah menahan 22 lelaki termasuk empat warga Thailand bagi membantu siasatan kes tersebut.

Untuk rekod, Op Bersepadu yang turut melibatkan unit udara, unit kereta perisai, Tiger Platoon dan bantuan dari anggota 69 Komando (VAT69) dilaksanakan berikutan beberapa insiden tembakan di sempadan negara sejak 12 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya