SOP ketat anjur Melaka Golf Championship 2020 - Utusan Malaysia

SOP ketat anjur Melaka Golf Championship 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri memberi jaminan pemain golf dari negeri yang masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) khususnya di Lembah Klang perlu menjalani ujian saringan.

Ini bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak Covid-19 sebelum dibenarkan menyertai Melaka Golf Championship 2020 merebut Piala Ketua Menteri Melaka pada 18 dan 19 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, pihak penganjur iaitu Sheng Tai International dan Golf (Malaysia) Publications Sdn. Bhd. telah memberi jaminan kesemua 120 pemain dari luar negeri ini perlu mempunyai surat kebenaran daripada polis dan pengesahan bebas Covid-19 daripada hospital di bawah Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, kejohanan dua hari itu yang akan diadakan di Kelab Golf Tiara & Resort dan Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), polis dan Kementerian Kesihatan dengan menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“SOP penganjuran kejohanan golf diberikan keutamaan penting memandangkan pemain yang menyertai pertandingan ini ada yang datang dari negeri yang dikenakan PKPB.

“Setiap seorang daripada mereka perlu mematuhi SOP termasuk di lapangan golf, penggunaan buggy hanya untuk seorang pemain di Kelab Tiara, manakala di AKCC pula buggy mempunyai penghadang untuk mengelak daripada pemain bersentuhan.

“Saya telah meminta pihak penganjur memberi penekanan terhadap SOP yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku pemain positif dijangkiti wabak Covid-19 hingga Melaka muncul pula kluster baharu,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Melaka Golf Championship 2020 merebut Piala Ketua Menteri Melaka di Hotel Ames, Ayer Keroh di sini.

Muhamad Jailani berkata, penganjuran kejohanan itu adalah salah satu promosi bagi memulihkan aktiviti pelancongan di negeri ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Beliau menambah penganjuran kejohanan itu yang mendapat kerjasama kerajaan negeri merupakan salah satu usaha menarik minat pemain golf dari luar negeri ini bagi menjadikan Melaka sebagai destinasi golf baharu dan sekali gus menyemarakkan sektor
pelancongan.

Sementara itu Pengurus Besar Golf (Malaysia) Publications Sdn. Bhd., Andrew Ng berkata, kesemua pemain akan menjalani saringan terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding dalam kejohanan dua hari itu.

Jelasnya, seramai 120 peserta yang mengambil bahagian adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang akan menginap di hotel sekitar bandar raya ini.

Beliau menambah, kejohanan itu adalah dalam kalangan pemain amatur sahaja dan format pertandingan adalah stabelford system 36. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.