"Saya terkejut perubahan sikap baba," menantu Badul - Utusan Malaysia

“Saya terkejut perubahan sikap baba,” menantu Badul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Saya terkejut dengan perubahan sikap bapa mentua terhadap saya selepas suami meninggal’.

Itu kata balu Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 32, mengenai bapa mentuanya, A R Badul atau lebih mesra dipanggilnya sebagai ‘Baba’ berikutan pertikaian kes pembahagian harta arwah suaminya yang dibangkitkan oleh artis veteran itu.

Menurutnya, semasa arwah suaminya masih hidup, hubungan dia dengan Badul amat baik malah arwah suaminya pernah menyatakan dia menantu kesayangan Badul.

“Semasa arwah suami saya ada, Baba adalah bapa mentua paling sempurna, saya anggap Baba seperti bapa sendiri.

“Namun selepas arwah meninggal, Baba berubah. Kalau dulu dia membahasakan dirinya sebagai Baba dan panggil saya dengan nama Ina, tapi sekarang aku, engkau,” katanya ketika ditemui di Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Perpaduan di sini semalam.

Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Izzul Zakly Mohd. Zahir berusia setahun lapan bulan.

Dalam pada itu, Nour Shafinar mengakui sudah tidak lagi berhubung dengan Badul, malah telah menyekat Whatsapp nombor bapanya.

“Saya terpaksa berbuat demikian kerana kata-kata dalam pesanan Whatsapp yang dihantar kepada saya menyebabkan saya tertekan.

“Saya terima pesanan Whatsapp bertalu-talu seminggu selepas arwah meninggal yang bertanyakan bab harta, faraid dan sumbangan bila nak diagihkan. Mana bahagian bapa, ibu dan Abel dan Remy (anak Mohd. Zahir daripada perkahwinan pertama).

“Sedangkan pada masa itu masih baharu lagi (selepas kematian Mohd. Zahir),” katanya.

Mengenai kes pertikaian pembahagian harta berkenaan insuran kelompok yang diterimanya, Nour Shafinar menegaskan ada bahagian untuk bapa mentuanya itu.

“Dia tetap bapa mentua saya, ayah kepada suami saya. Secara jujur saya katakan bahagian Baba itu ada, saya akan bagi.

“Kalau tidak secara berdepan, mungkin saya akan menyuruh peguam saya untuk membuat proses pembayaran secara online supaya sampai ke tangan bapa mentua saya.

“Ini kerana saya risau apabila berdepan dengannya berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam keadaan Baba sedang marah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN