Rawatan pemulihan nanti dulu , bimbang keluarga terabai - Utusan Malaysia

Rawatan pemulihan nanti dulu , bimbang keluarga terabai

ZULKIFLI (tengah) menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru. UTUSAN/ Baazlan Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Terdapat individu terlibat dalam penyalahgunaan enggan tampil mendapatkan rawatan sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) kelolaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana bimbang keluarga mereka terabai .

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, faktor tersebut merupakan antara sebab pihaknya terpaksa mẹmbuat tangkapan kepada mereka yang terlibat kerana bilangan yang serah diri adalah minimum.

“Ketika ini hanya 19 peratus penagih dadah menerima rawatan di Puspen secara sukarela.

“Mereka fikir, jika mereka serah diri, keluarga mereka akan terabai dan tidak ada siapa yang akan bantu. Tambahan pula mereka adalah sumber utama pendapatan keluarga.

“Itu sebabnya dalam projek perintis kita memohon supaya jabatan lain membantu keluarga yang ketua keluarganya terlibat penagihan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru di sini hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu isteri penagih dengan membuat kuih untuk dijual supaya keluarga ada sumber pendapatan ini sementara suami mendapatkan rawatan pemilihan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, AADK menyasarkan kira-kira 30 peratus penagih dadah mendapatkan rawatan secara sukarela tahun depan dan meningkat kepada 50 peratus pada tahun berikutnya.

Katanya, pihaknya juga akan menambah baik sudut perundangan di mana cadangan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dipinda.

“Ia akan membolehkan individu yang menjalani rawatan pemulihan secara sukarela di pusat pemulihan memiliki tempoh fleksibel dan tidak dikenakan pengawasan selepas tamat menjalani rawatan dan pemulihan.

“Setakat ini, AADK mempunyai 31 pusat pemilihan dan 11 daripadanya adalah pusat pemulihan yang menyediakan perkhidmatan untuk kes sukarela,” katanya.

Beliau berkata, sebuah pusat pemulihan sukarela di Seri Iskandar, Perak yang dikhaskan kepada mereka yang bekerjaya dan mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya