Pantauan kewangan AirAsia bukan bail-out kerajaan

Pantauan kewangan AirAsia bukan bail-out kerajaan

AIRASIA Group membidas laporan yang mendakwa syarikat tersebut memohon bantuan untuk mengumpul dana bernilai sehingga AS$1 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemantauan kerajaan terhadap kedudukan kewangan AirAsia ketika ini dilihat bukan suntikan dana kerajaan (bail-out) tidak langsung, sebaliknya langkah untuk mengurus risiko sekiranya berlaku gangguan terhadap operasi syarikat penerbangan itu.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tindakan Kementerian Kewangan melantik penasihat profesional untuk menilai keperluan dana AirAsia merupakan proses usaha wajar yang biasa.

Menurutnya, kerajaan juga berbincang dengan Malaysia Airlines dan Batik Air bagi melihat keupayaan kedua-dua syarikat itu mengambil alih laluan dan penumpang AirAsia sekiranya operasinya terganggu.

“AirAsia menguasai sebanyak 40 peratus pasaran keseluruhan dan 60 peratus pasaran domestik Malaysia.

“Bail-out tidak langsung hanya berlaku jika ada suntikan ekuiti Khazanah, jaminan kerajaan atau penghapusan hutang MAHB. Setakat ini tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

AirAsia Group sedang mengumpul AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan RM700 juta menerusi kemudahan kredit tempatan untuk menyusun semula serta membiayai semula hutang-hutangnya.

Pengasas bersama merangkap penasihat AirAsia Group Bhd., Tan Sri Tony Fernandes menyatakan pusingan pembiayaan kumpulan bernilai AS$1 bilion (RM4.08 bilion) menerima banyak minat daripada bank-bank Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Beliau mendedahkan pelabur bon Asia Barat turut menyerahkan dokumen terma yang ditandatangani bagi melabur dalam pengumpulan dana bernilai AS$1 bilion.

Beliau turut membidas laporan yang mendakwa AirAsia Group memohon bantuan daripada kerajaan bagi mengumpul dana berkenaan.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, Malaysia Airlines dan Batik Air hanya mampu mengambil alih kapasiti AirAsia secara besar-besaran sekiranya pajakan pesawat turut dipindahkan.

Beliau berkata, campur tangan kerajaan bagaimanapun mempunyai justifikasi sekiranya keadaan AirAsia menjadi lebih serius kerana kehilangan 60 peratus kapasiti domestik boleh menjejaskan laluan seperti Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Sibu.

“Tambang juga boleh meningkat, manakala pelancongan bajet yang membawa 1.4 juta pelancong India pada 2025 turut boleh terjejas.

“Tanpa AirAsia, pasaran juga boleh kembali kepada duopoli dan memberi kesan kepada harga serta lebih 24,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School, Prof. Madya Mejar Dr. Mohd. Harridon Mohamed Suffian berkata, AirAsia perlu menstruktur semula strategi kewangannya dengan meneliti semula kedudukan hutang syarikat secara lebih terperinci.

Ujarnya, langkah itu penting bagi memastikan AirAsia dapat meneruskan operasi seperti biasa dan mengembangkan operasinya, selain memastikan hutang dapat dibayar secara optimum mengikut prestasi kewangan syarikat.

“AirAsia juga perlu berbincang dengan pemiutang supaya hutang dapat dibayar secara ansuran mengikut nilai yang sesuai dan tidak membebankan kedudukan kewangan syarikat.

“Ini kerana AirAsia memerlukan sejumlah modal kewangan setiap bulan untuk mengekalkan operasi penerbangan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×