Qatar Airways rancang kembali ke Langkawi - Utusan Malaysia

Qatar Airways rancang kembali ke Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Syarikat gergasi penerbangan dunia, Qatar Airways memiliki perancangan besar untuk kembali merancakkan industri pelancongan Langkawi menerusi program dikenali gelembung pelancongan (Bubble tourism) yang turut mendapat maklum balas positif kerajaan negeri.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, menerusi program itu syarikat berkenaan bersedia membentuk sistem untuk membawa pelancong dari negara yang berkategori hijau bagi Covid-19 secara terus ke pulau legenda itu.

“Menerusi sistem tersebut, setiap pelancong yang hendak datang ke Langkawi perlu terlebih dulu menjalani ujian saringan manakala lokasi hotel dan tempat pelancongan dituju akan turut disusun Qatar Airways.

“Biasanya pelancong antarabangsa ini akan tinggal di sesebuah kawasan untuk tempoh lama hingga ada yang mencecah 21 hari.

“Perbelanjaan dikeluarkan mereka juga lebih tinggi berbanding pelancong tempatan dan itu sudah tentu dapat kembali membantu industri pelancongan Langkawi yang malap akibat Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir mendakwa industri tersebut mengalami kerugian berjumlah RM1.7 bilion di pulau legenda itu akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Malah menurut Zainuddin, kedatangan pelancong ke Langkawi turut merosot iaitu cuma 1.16 juta pelancong tahun ini berbanding 3.96 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Muhammad Sanusi menambah, beliau sendiri telah membawa perkara tersebut ke pengetahuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Perdana Menteri menyatakan persetujuan namun beberapa perkara perlu diteliti antaranya polisi semasa Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya fikir perkara ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan kerana sebahagian besar negara-negara yang telah ‘hijau’ Covid-19 telah bersedia membenarkan rakyat mereka keluar melancong,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, sekiranya menjadi kenyataan, Qatar Airways menyatakan kesediaan untuk mewujudkan hingga lima penerbangan secara terus dari beberapa negara ke Langkawi setiap minggu.

“Mereka cuma memerlukan sebulan untuk membuat promosi dan menjual pakej-pakej disediakan. Jika cadangan ini diluluskan, saya fikir Langkawi dapat kembali pulih sebagai antara destinasi pelancongan terbaik dunia,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya