ANTARA kerusi Parlimen yang bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang adalah Kuantan.
Pada Piliihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, penyandangnya daripada PKR, Fuziah Salleh berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila memperoleh 22,807 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wong Kean Hwee (13,667 undi) dan calon Pas, Sulaiman Md. Derus (14,696 undi).
Fuziah telah tiga penggal menang kerusi Parlimen Kuantan sejak 2008 dan adakah pada PRU-15, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang itu akan mempertahankan kerusi Parlimen tersebut ?
Pada PRU-14 lalu, UMNO Bahagian Kuantan konsisten mendesak mahu calonnya bertanding di kerusi Parlimen tersebut tetapi akhirnya, calon daripada MCA dipilih dan keputusan itu diterima oleh UMNO Kuantan.
Kini menjelang PRU-15, soal parti mana dalam komponen BN yang akan bertanding di Parlimen Kuantan pasti ‘hangat’ diperkatakan dan menjadi bualan.
Sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, setelah diberikan kepada MCA pada PRU-14 lalu, kini giliran UMNO pula bertanding di Parlimen Kuantan dalam PRU-15.
Jelas sumber, MCA tidak sewajarnya menuntut kerusi Parlimen Kuantan kerana telah tewas kepada Fuziah pada PRU-14 lalu. Peluang sewajarnya diberikan kepada parti lain dalam komponen BN iaitu UMNO untuk bertanding di kerusi majoriti orang Melayu berkenaan.
Bagi UMNO Bahagian Kuantan, nama yang kini disebut-sebut untuk bertanding di Parlimen Kuantan adalah Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar atau lebih popular dengan panggilan Hamid Mandela.
Ramai dalam kalangan rakyat termasuk anak-anak muda, memang sudah sinonim dengan nama Hamid Mandela sebenarnya.
Tambahan pula, dalam karier politiknya bersama UMNO Bahagian Kuantan, Hamid Mandela banyak turun ke kawasan dan terlibat dengan pelbagai aktiviti masyarakat sejak sekian lama.
Bagi PKR pula, parti itu dijangka mengekalkan Fuziah untuk mempertahankan Parlimen Kuantan bagi pengggal keempat. Persoalannya, bersediakah Fuziah terus bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU-15?
Dengan UMNO dan Pas sudah bersama di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN) tentunya ia cabaran hebat buat Fuziah untuk mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.
Jika dulu pelbagai isu dmainkan Fuziah antaranya aktiviti perlombongan bauksit, kilang nadir bumi Lynas, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas, tetapi kini isu yang memberi ‘nasi tambah’ kepada PKR itu tidak lagi dibangkitkan.
Sumber memaklumkan, ada dua kemungkinan sama ada Fuziah kekal bertanding atau PKR mengemukakan calon baharu kerana parti itu sudah menjangka kalah di Kuantan.
Persoalannya, siapa pilihan rakyat Kuantan, adakah Hamid Mandela atau Fuziah? – UTUSAN









