Penyeludup arak tak terlepas tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Penyeludup arak tak terlepas tindakan undang-undang

DZULKHAIRI Mukhtar (kiri) menunjukkan rampasan arak seludup dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri, Johor hari ini. - FOTO/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pihak penguat kuasa yang bersubahat atau terlibat dengan kegiatan penyeludupan minuman keras dari zon bebas cukai Forest City, Gelang Patah di sini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, amaran itu dibuat selepas pihaknya menahan dua buah kenderaan yang membawa muatan arak seludup ketika membuat sekatan jalan raya Op Benteng di KM 35 Johor Bahru-Pendas, petang semalam. 

Katanya, dalam operasi itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dan merampas 166 karton minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM14,960 melebihi jumlah yang dibenarkan iaitu tiga karton bagi setiap individu sekitar pukul 5 petang. 

“Apa yang menjadi kemusykilan di sini ialah bagaimana mereka ini boleh melepasi kawalan dengan membawa keluar minuman keras melebihi jumlah yang dibenarkan hingga lebih 100 karton dari kawasan bebas cukai itu. 

“Kita memberi amaran kepada agensi terbabit tak kira sama ada pihak polis, atau pun agensi lain dan sesiapa sahaja yang bersubahat membantu sindiket ini menyeludup keluar arak akan diambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini. 

Dzulkhairi berkata, kes itu masih berterusan berlaku biarpun pihaknya yang dibantu Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah membuat merampas arak seludup dari kawasan bebas cukai itu dalam beberapa siri rampasan sepanjang tahun ini. 

Tegas Dzulkhairi, pihaknya sudah mempunyai senarai nama individu yang terlibat dengan penyeludupan arak ini dan akan memanggil mereka untuk disiasat di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan atau mungkin diserahkan kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang didapati bersekongkol dengan kegiatan penyeludupan berkenaan. 

“Remaja berusia 17 itu ditahan reman selama dua hari bermula hari ini dan esok manakala suspek berusia 31 dan 32 tahun dalam proses permohonan reman. Kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

“Pengakuan awal suspek dalam kes yang ditangkap dan minuman keras yang dibeli untuk menyambut perayaan Hari Krismas.

“Kita percaya kesemua yang ditahan ini daripada kumpulan yang sama bertindak sebagai runner (penghantar) penyeludupan arak,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya