Mayat lelaki Thailand ditemukan dengan kesan tetakan

Mayat lelaki Thailand ditemukan dengan kesan tetakan

LOKASI mayat seorang lelaki ditemukan dengan kesan tetakan di Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Misteri kehilangan seorang penoreh getah warga Thailand terungkai apabila mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di badannya di sebuah anak sungai di Kampung Pulai, di sini, kelmarin.

Manah Maemoh, 48, ditemukan kira-kira pukul 2 petang selepas seorang rakan senegaranya membuat laporan kepada polis susulan kehilangan lelaki itu sehari sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemukan berhampiran kawasan berbatu di dalam anak sungai, hanya kira-kira 200 meter dari rumah kongsi tempat dia menetap di kebun getah.

“Keadaan mangsa sangat menyayat hati apabila ditemukan tanpa seurat benang dan terlangkup. 

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan tetakan serta luka akibat senjata tajam pada bahagian kepala, muka, leher, tangan dan kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam pertengkaran dengan seorang rakan senegaranya yang berusia lingkungan 40-an sebelum dilaporkan hilang.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Gua Musang mengesahkan punca kematian adalah akibat luka tetakan serius pada bahagian muka dan leher.

“Susulan itu, polis menahan individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×